KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan berjumlah RM20,000 kepada 100 asnaf terpilih di negeri Perlis sempena Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kasih NUTP 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Sumbangan itu merupakan inisiatif kebajikan anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi membantu golongan memerlukan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden NUTP, Aminuddin Awang; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor; serta Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin.
Dalam ucapannya, Aminuddin merakamkan penghargaan kepada MAIPs atas kerjasama erat dalam menjayakan majlis berkenaan.
Beliau berkata NUTP merupakan kesatuan sekerja terbesar di negara ini dengan keahlian melebihi 230,000 orang dan sentiasa komited memperjuangkan kebajikan serta kepentingan warga pendidik di Malaysia.
Menurutnya, NUTP turut menyediakan khidmat guaman yang dibiayai sepenuhnya kepada guru yang berhadapan dengan tindakan mahkamah, selain menguruskan tabung kebajikan bagi membantu ahli yang ditimpa musibah seperti kematian ahli keluarga, bencana alam serta memberi sokongan kepada ahli yang mencatat kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Tambah beliau, sebagai kesatuan yang mewakili suara guru, NUTP akan terus memainkan peranan secara konstruktif bersama kerajaan bagi memastikan sistem pendidikan negara terus unggul dan berdaya saing.