Skip to main content

Malaysia

ADUN Karambunai dakwa penganjuran festival Songkran di Kota Kinabalu bazirkan air

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Aliakbar Gulasan -- SINAR HARIAN
ALIAKBAR: Saya mohon supaya perkara seperti ini tidak berlaku pada waktu sekarang ketika masyarakat dan rakyat sedang menghadapi masalah air di beberapa tempat. - Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Aliakbar Gulasan mendakwa penganjuran festival Songkran Sunset Splash Run yang berlangsung pada Sabtu lalu sebagai pembaziran ketika sebahagian penduduk berdepan masalah bekalan air di beberapa tempat sekitar Sabah.

Menerusi video berdurasi satu minit 31 saat yang dimuat naik di media sosial, beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai pertanyaan dan persoalan berhubung festival berkenaan yang diadakan di Kota Kinabalu.

"Pihak kami sejak pagi menerima pelbagai pertanyaan dan persoalan berkait Festival Songkran KK 2026, khususnya berkenaan penggunaan air.

“Kami di kawasan Sepanggar dan Karambunai khususnya sekarang sedang menghadapi masalah air di beberapa tempat,” katanya.

Aliakbar berkata, dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini, isu bekalan air berkemungkinan berlarutan, sekali gus menjadikan penganjuran program menggunakan air sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Beliau turut mendakwa dimaklumkan bahawa air dihantar ke lokasi program menggunakan lori tangki, sekali gus menimbulkan persepsi pembaziran dalam kalangan masyarakat.

"Dalam suasana kering dan panas seperti ini, kita yakin masalah ini mungkin berlanjutan. Saya difahamkan, walaupun saya tidak hadir ke majlis tersebut, pesta Songkran itu seolah-olah berlaku pembaziran air apabila dihantar menggunakan lori-lori tangki air.

"Jadi saya mohon khususnya pihak penganjur dan mungkin pihak berkuasa tempatan supaya perkara seperti ini tidak berlaku pada waktu sekarang ketika masyarakat dan rakyat sedang menghadapi masalah air di beberapa tempat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan dapat meneliti penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang agar tidak menimbulkan persepsi kurang sensitif terhadap kesusahan rakyat.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan bahawa pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran program tersebut dan sebarang kelulusan yang diberikan adalah tertakluk sepenuhnya kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Dalam kenyataan DBKK, hasil pemantauan mendapati terdapat beberapa aspek pelaksanaan yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang diluluskan, khususnya melibatkan kaedah penggunaan air serta impak kebersihan dan keselamatan di kawasan awam.

DBKK memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kepatuhan kepada syarat kelulusan acara dan kebersihan Bandaraya Kota Kinabalu dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur selaras dengan peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa. - Sinar Harian

 

Must Watch Video