KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh intelektual dan pemikir terkemuka negara Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang disifatkannya sebagai antara pemikir terbesar pada zaman ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham bukan sekadar seorang ahli falsafah, tetapi tokoh yang mengajak masyarakat menilai bukan sahaja apa yang diketahui, malah tujuan sebenar ilmu itu sendiri.
"Melalui karya-karya penting termasuk 'Islam and Secularism' serta karya agungnya 'Prolegomena to the Metaphysics of Islam' Allahyarham mencabar proses sekularisasi ilmu dan membina asas intelektual kepada pandangan alam Islam.
"Pemikiran Allahyarham bukan sahaja didengari di Malaysia, malah turut memberi kesan besar kepada dunia Islam secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata, Syed Muhammad Naquib meninggal dunia pada malam ke-19 Ramadan pada usia 95 tahun.
“Ini adalah kehidupan yang dilalui dengan penuh makna dan pemergian yang meninggalkan legasi besar,” katanya.
Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta semua yang pernah menimba ilmu daripadanya.
Beliau turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan rahmat dan kedudukan tertinggi di sisi Allah.