IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus komited memperkasakan kemudahan awam melalui pelaksanaan projek naik taraf infrastruktur di kawasan Medan Selera Greentown Utama, di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek naik taraf dengan peruntukan RM200,000 memberi manfaat kepada kira-kira 25 peniaga gerai serta pengunjung setempat.
Beliau berkata projek tersebut termasuk dalam peruntukan sebanyak RM60 juta bagi pelaksanaan 200 projek naik taraf medan selera di seluruh negara yang dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
โSatu lagi daripada kerja hasil yang telah kita jayakan adalah di Medan Selera, Stadium Perak. Memang kini sangat menarik di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri Canning dan KPKT akan terus bekerjasama erat dengan Majlis Bandaraya Ipoh (naik taraf) semua PBT,โ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek naik taraf Medan Selera Greentown Utama di sini semalam, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib dan Datuk Bandar Zamakhshari Hanipah.
Sementara itu, kerja-kerja naik taraf medan selera berkenaan bermula pada Ogos 2025 dan siap sepenuhnya pada 31 Jan lepas, merangkumi kerja-kerja mengecat semula kawasan medan selera, pemasangan kipas industri (heli fan) serta penggantian set meja dan kerusi baharu demi keselesaan pengguna.
Selain itu, Nga berkata kerja-kerja penurapan jalan di kawasan perumahan di seluruh Perak bernilai RM40 juta telah siap sepenuhnya.
-- BERNAMA