Skip to main content

Malaysia

MyPOWER laksana penilaian menyeluruh program tenaga nuklear negara - TPM Fadillah

Sumber: BERNAMA
Fadillah berkata, ketegangan di Asia Barat termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga strategik seperti Teluk Hormuz, telah memberikan kesan negatif kepada pasaran dan perbekalan tenaga global. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: MyPOWER Corporation Malaysia sedang melaksanakan penilaian menyeluruh bagi pembangunan program tenaga nuklear negara merangkumi pembangunan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia, penilaian pembangunan projek serta penyertaan industri tempatan, di samping memperkukuh penglibatan pihak berkepentingan serta pembangunan modal insan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penerokaan potensi tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik negara adalah satu langkah strategik bagi memastikan keterjaminan tenaga jangka panjang selain menyokong aspirasi peralihan tenaga bersih negara.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, inisiatif itu turut digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai 2025.

"Keperluan menilai potensi dan kebolehlaksanaan tenaga nuklear juga semakin relevan dalam konteks perubahan lanskap tenaga global yang dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik serta ketidakstabilan bekalan dan harga bahan api," katanya dalam kenyataan hari ini.

MyPOWER Corporation selaku agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah dilantik sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) untuk meneraju dan menyelaras usaha persediaan pembangunan program tenaga nuklear negara berpandukan pendekatan berfasa oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Fadillah berkata, ketegangan di Asia Barat termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga strategik seperti Teluk Hormuz, telah memberikan kesan negatif kepada pasaran dan perbekalan tenaga global.

"Dalam konteks ini, tenaga nuklear dilihat berupaya menyediakan penjanaan beban asas yang stabil dan rendah karbon, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil," katanya.

Beliau berkata, beberapa negara ASEAN turut menilai semula peranan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian sumber tenaga.

Menurut Fadillah, Filipina menyasarkan pembangunan tenaga nuklear berkapasiti hingga 4,800 megawatt menjelang 2050, manakala Vietnam telah memasukkan semula tenaga nuklear dalam pelan pembangunan tenaga negara.

Indonesia juga, katanya sedang meneroka potensi penggunaan reaktor modular kecil (SMR) termasuk reaktor terapung sebagai penyelesaian tenaga bersih yang fleksibel untuk negara kepulauan, dengan sasaran menjelang 2030.

"Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan sebarang pertimbangan berkaitan pembangunan tenaga nuklear pada masa hadapan dilaksanakan secara teliti, berasaskan analisis teknikal yang komprehensif serta selaras dengan keutamaan pembangunan negara dan obligasi antarabangsa Malaysia," katanya.

Fadillah berkata, pendekatan itu juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan perancangan jangka panjang negara berasaskan ilmu, kemampanan sumber serta kesejahteraan rakyat dan generasi masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video