Skip to main content

Malaysia

Muzium Tokoh Johor berwajah baharu, hidupkan semula warisan 'Bangsa Johor'

Muzium Tokoh Johor
Muzium yang menjadi simbol perjalanan sejarah negeri itu akan dibuka kepada umum tidak lama. - Gambar/ FB Muzium Tokoh Johor

JOHOR BAHRU: Sebuah lembaran baharu dalam usaha memartabatkan sejarah Johor bakal bermula apabila Muzium Tokoh Johor kini tampil dengan wajah lebih moden, interaktif dan penuh nilai warisan untuk tatapan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, muzium yang menjadi simbol perjalanan sejarah negeri itu akan dibuka kepada umum tidak lama lagi dengan menawarkan pengalaman lebih menarik, sekali gus membawa pengunjung menyelusuri kisah tokoh-tokoh besar yang pernah mencorakkan pembangunan Johor.

"Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Muzium Tokoh Johor telah dinaik taraf secara menyeluruh dengan pendekatan lebih moden bagi memperkukuh usaha memelihara warisan negeri untuk 'Bangsa Johor'.

"Bangunan bersejarah yang dahulunya merupakan kediaman rasmi Menteri Besar Johor pertama, Datuk Jaafar Muhammad telah dinaik taraf secara komprehensif. Usaha ini membolehkan pengunjung melihat bahan pameran, paparan digital serta audio visual yang menghidupkan kisah tokoh-tokoh Johor," katanya.

Beliau berkata, bangunan bersejarah yang suatu ketika dahulu menjadi kediaman rasmi Menteri Besar Johor pertama, turut melalui proses pemuliharaan dan penambahbaikan secara menyeluruh tanpa mengabaikan nilai seni bina asalnya yang cukup berharga.

Kini, ruang dalam muzium berkenaan dihiasi dengan paparan digital, bahan interaktif serta teknologi audio visual yang mampu ‘menghidupkan’ kembali perjalanan tokoh-tokoh penting Johor dalam suasana lebih dekat dan menyentuh jiwa pengunjung.

"Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, ketepatan fakta dan kualiti persembahan agar setiap bahan pameran dipelihara dengan baik serta memberi pengalaman yang selamat dan berkualiti kepada semua, sekali gus membantu memahami sejarah negeri ini dengan lebih tepat dan jelas.

"Semoga Muzium Tokoh Johor menjadi destinasi pilihan 'Bangsa Johor', khususnya generasi muda, untuk mengenali sejarah negeri dan menghargai jasa tokoh terdahulu, sekali gus memeriahkan Tahun Melawat Johor 2026 sebagai antara tarikan utama pelancongan negeri. Insya-Allah," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya pada Sabtu.

Onn Hafiz berkata, setiap sudut pameran direka dengan teliti agar bukan sekadar menjadi ruang melihat artifak lama, sebaliknya medan pembelajaran yang membawa masyarakat menghayati perjuangan, kepimpinan dan jasa tokoh terdahulu terhadap pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri mahu generasi hari ini bukan sahaja mengenali nama tokoh-tokoh Johor, tetapi turut memahami pengorbanan dan nilai kepimpinan yang mereka tinggalkan demi kemajuan negeri ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pendekatan lebih moden itu penting supaya institusi sejarah tidak lagi dilihat sebagai ruang statik, sebaliknya menjadi destinasi ilmu yang mampu menarik minat semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

Dalam masa sama, pembukaan semula muzium tersebut dijangka memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri bersempena sambutan Tahun Melawat Johor 2026 yang sedang giat dipromosikan kerajaan negeri.

Dengan gabungan elemen sejarah, teknologi dan identiti 'Bangsa Johor', Muzium Tokoh Johor diyakini mampu muncul sebagai antara destinasi warisan utama yang bukan sahaja mengangkat sejarah negeri, malah menyemarakkan rasa bangga terhadap legasi Johor untuk generasi akan datang.

Must Watch Video