RAWANG: Luluh hati seorang ibu melihat anaknya yang patah dua tulang kaki dalam kejadian yang dikatakan berpunca daripada 'gurauan' rakan di sekolah, September lalu, sehingga kini belum pulih sepenuhnya.
Walaupun hampir tujuh bulan kejadian malang itu berlaku, Asfiza Abdullah, 37, berkata anaknya yang kini belajar di tingkatan satu sebuah sekolah di Bukit Sentosa, di sini, belum dapat berjalan dengan normal.
Menceritakan kembali kejadian yang berlaku ketika anaknya belajar di tahun enam sebuah sekolah rendah di sini, Asfiza berkata, kanak-kanak itu dipanggil ke belakang kelas oleh seorang murid lain.
"Pelaku suruh pertahankan diri, tetapi belum sempat anak saya bersedia, dia dah pegang bahu dan sepak kaki kanan sampai jatuh.
"Berdasarkan imbasan sinar-X, anak saya didapati patah serong dua tulang di bahagian kaki, iaitu tulang besar dan kecil.
"Doktor cakap ini bukan impak biasa, sebab kalau ikutkan tulang manusia susah nak patah... melainkan tekanan yang dibuat sekuat hati.
"Jadi saya buat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas kejadian," dakwa Asfiza kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Menurutnya lagi, susulan kejadian itu, pelaku dikenakan hukuman gantung sekolah selama seminggu.
"Tindakan selanjutnya... kami mengikut saranan pihak polis. Selepas kejadian tahun lepas, polis ada datang ke sekolah untuk perbincangan, difahamkan kes diserahkan kepada pihak sekolah.
"Selepas insiden, pihak sekolah ada hubungi saya beritahu pentadbir nak datang ke rumah untuk melawat anak... tetapi akhirnya tidak jadi kerana ada urusan.
"Kemudian sampai ke sudah semua senyap, melainkan kami ada terima bantuan tunai RM400," dakwa Asfiza.
Asfiza kesal kerana sehingga kini kes itu seolah-olah 'senyap', sedangkan anaknya menderita setiap hari.
"Anak saya berjalan sekarang terhincut-hincut, kalau kami nak buat fisioterapi pun, siapa mahu tanggung kos?
"Saya harap tuntutan insurans dengan pihak sekolah dapat dipermudahkan. Selepas kejadian itu kami sendiri yang usaha beli tongkat dan pinjam kerusi roda daripada kawan untuk bantu anak bergerak.
"Kami kurang pasti jumlah tuntutan insurans ini, namun setidak-tidaknya dapat bantu menampung perbelanjaan anak untuk jumpa doktor pakar di hospital," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ibrahim Husin, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kes terbabit tidak membabitkan unsur jenayah.
"Kejadian merupakan kemalangan atau gurauan semasa kedua-dua pelajar berada di dalam kelas.
"Pihak pengadu sudah menyelesaikan kes dengan pihak keluarga pelaku termasuk sekolah.
"Mereka juga dalam proses tuntutan insurans atas kemalangan yang berlaku.
"Insiden menjadi tular semula apabila ada pihak tidak dikenali memuat naik tangkap layar hantaran yang dibuat pengadu semasa awal kejadian," jelas Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI, pada Rabu.
Dalam pada itu, Asfiza menafikan kes berkenaan sudah diselesaikan dengan pihak sekolah.
Astro AWANI ketika ini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai perkembangan insiden berkenaan.