Skip to main content

Malaysia

MPS puji langkah kerajaan perkukuh keterjaminan ubat

Generic ubat
Amrahi berkata sokongan kerajaan terhadap pembangunan dan pengeluaran ubat generik tempatan perlu dipertingkatkan, termasuk memperluaskan pengkhususan dalam penghasilan API. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) memuji tindakan pantas kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam menangani isu keterjaminan ubat yang turut merangkumi aspek peranti perubatan, susulan konflik geopolitik di Asia Barat ketika ini.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, inisiatif digariskan Menteri Ekonomi Akmal Nasir pada Selasa disifatkan sebagai langkah tepat dan strategik demi kepentingan negara.

Jelas beliau, isu keterjaminan ubat perlu diberi perhatian serius sebagai agenda nasional bagi menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk peperangan, bencana alam berskala besar, pandemik serta gangguan rantaian logistik akibat ketidakstabilan geopolitik.

“MPS telah memperkenalkan terma keterjaminan ubat sejak musim pandemik COVID-19 dan sejak itu saya konsisten menyeru kerajaan supaya mengambil langkah strategik dan bersepadu bagi memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi apa jua situasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata langkah MTEN untuk melaksanakan stok penimbal ubat dan peranti perubatan secara segera merupakan satu pendekatan yang amat dialu-alukan, selain menyifatkan inisiatif MyMedSecure sebagai tindakan strategik yang wajar diteruskan.

“MyMedSecure bukan satu idea baharu, namun pelaksanaannya melibatkan semua pemegang taruh dan selari dengan keperluan semasa negara,” katanya.

Amrahi berkata, kerajaan juga perlu memberi fokus kepada beberapa bidang strategik dalam industri farmaseutikal, antaranya pengeluaran gelatin halal yang mempunyai nilai tambah tinggi serta potensi besar untuk pasaran global.

Selain itu, beliau menekankan keperluan kerjasama lebih kukuh dalam kalangan negara ASEAN, khususnya dalam menyokong negara-negara yang berkeupayaan menghasilkan ubat mengikut kelebihan masing-masing.

“Malaysia mempunyai kelebihan dari segi nilai dan kapasiti dalam pengeluaran ubat, sama ada melalui usaha domestik atau kerjasama strategik dengan syarikat global termasuk dari Eropah, China dan India,” katanya, sambil menambah keterjaminan ubat di peringkat ASEAN penting bagi kebaikan kesihatan awam dan ekonomi rantau ini.

MPS turut menyokong cadangan mewujudkan dasar keterjaminan ubat dan peranti perubatan yang menyeluruh, termasuk pelaksanaan polisi bersepadu dan efisien dalam pembelian ubat-ubatan berpaten melalui rundingan kerajaan-ke-kerajaan bagi mendapatkan harga lebih berpatutan.

Pada masa sama, Amrahi berkata sokongan kerajaan terhadap pembangunan dan pengeluaran ubat generik tempatan perlu dipertingkatkan, termasuk memperluaskan pengkhususan dalam penghasilan Active Pharmaceutical Ingredients (API) serta eksipien tertentu sebagai sebahagian strategi jangka panjang.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat terus melaksanakan usaha terbaik demi kepentingan rakyat dan kelangsungan sistem kesihatan negara.
 

Must Watch Video