KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa Mesir memberi jaminan untuk mempermudah penyaluran 376 tan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza pada April.
Menurut Anwar dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini, jaminan itu disampaikan sendiri oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, ketika mengadakan perbincangan dengan beliau pada 26 Mac lalu.
Langkah ini dijangka membolehkan bantuan segera disalurkan kepada lebih 100,000 penduduk Gaza yang amat memerlukan melalui pintu sempadan Rafah.
“Presiden El-Sisi memberikan jaminan dan komitmen jelas untuk memastikan akses ini dipermudah,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut menegaskan prinsip Malaysia yang tidak akan tunduk terhadap halangan daripada rejim Zionis Israel yang disifatkannya merencatkan usaha kemanusiaan ini.
“Dalam saat dunia diuji dengan ketidakpedulian dan hipokrasi, Malaysia akan terus berdiri sebagai suara yang berprinsip dan bermaruah, mempertahankan hak mereka yang tertindas,” katanya lagi.
Pada 14 Mac, media melaporkan bahawa hampir semua usaha bantuan kemanusiaan melalui lintasan Kerem Shalom iaitu wilayah yang dikuasai Israel berhampiran sempadan Rafah telah ditolak sepenuhnya.
Untuk rekod, Kerem Shalom kekal sebagai satu-satunya lintasan yang masih beroperasi untuk memasuki Gaza.
Manakala lintasan Rafah dan Zikim kekal ditutup sejak bermulanya serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran pada 28 Feb lepas.