SUNGAI PETANI: Seorang pengawal peribadi tanpa lesen dijatuhi hukuman penjara selama 8 tahun 7 bulan selepas mengaku salah atas empat pertuduhan termasuk menyamar sebagai anggota polis pada awal Februari lalu.
Tertuduh Mohd Faizal Sinorcho, 40, dijatuhi hukuman itu setelah membuat pengakuan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan juru bahasa di tiga mahkamah berasingan di sini pada Ahad.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Majistret 1, duda kepada dua anak itu didakwa telah dengan palsu menyamar sebagai seorang penjawat awam iaitu sebagai anggota polis dengan memakai vest yang berlogo polis untuk memperdaya Hazimah Bakrin, 20.
Kejadian itu didakwa dilakukan tertuduh pada 8 Februari lalu antara pukul 5.50 petang hingga 11.30 malam di dalam sebuah kereta Proton Viva semasa dalam perjalanan dari Gerik, Perak ke Sungai Petani, Kedah.
Pertuduhan terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikemukakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu dihadapan Majistret sama tertuduh turut didakwa mencabul Hazimah Bakrin dengan cara memegang paha kanan dan mencium tangan kanan mangsa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kesalahan ini didakwa dilakukan di dalam kereta sama lewat malam hari sama ketika mangsa menyedari telah berada di Sungai Petani.
Muhammad Syaiful kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama dua bulan bagi menyamar polis manakala bagi tuduhan cabul dikenakan hukuman penjara selama dua tahun.
Manakala di hadapan Majistret 3 Mohamad Azlan Basri pula tertuduh didakwa sekali lagi menyamar anggota polis dengan memakai vest berlogo polis dan memegang gari di hadapan Siti Adilah Muhamad Fauzi.
Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan didakwa dilakukan tertuduh pada 9 Februari lebih kurang pukul 12.45 pagi di tempat parkir di hadapan sebuah pasar raya di sini.
Mohamad Azlan kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan selepas tertuduh mengaku bersalah.
Sementara di Mahkamah Sesyen 2 pula, tertuduh didakwa melakukan samun terhadap harta milik Siti Adilah Muhammad Fauzi iaitu sebuah motosikal skuter jenis Honda Vario.
Kesalahan mengikut Seksyen 392 itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa, tarikh dan tempat yang sama dan selepas mengaku salah Hakim Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan dua sebatan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Adlin Sufiya Kamarulzaman, Nur Hazwani Md Noor serta J.Banusha daripada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Kedah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.