KUALA LUMPUR: Voice370, kumpulan sokongan keluarga mangsa, meminta kerajaan Malaysia untuk melanjutkan tempoh pencarian mengikut prinsip “tiada penemuan, tiada bayaran” serta mempertimbangkan peluang carian sama kepada syarikat penerokaan dasar laut dalam lain.
Menurut kenyataan Voice370 hari ini, pihaknya menghargai keputusan kerajaan pada Januari tahun lepas untuk menandatangani perjanjian “tiada penemuan, tiada bayaran” dengan Ocean Infinity bagi melaksanakan pencarian baharu di selatan Lautan Hindi.
“Kami menghargai kerajaan Malaysia kerana menerima tawaran ini, dan juga Ocean Infinity atas kesediannya melaksanakan misi yang mencabar ini tanpa kepastian ganjaran,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu,dalam kemas kini pencarian kepada waris di Malaysia, Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa Ocean Infinity telah meliputi kira-kira 7,571 kilometer persegi kawasan carian utama di bawah kontrak semasa.
“Kira-kira 7,500 kilometer persegi lagi telah diteroka sebelum kontrak dimeterai. Tiada penemuan signifikan dibuat sebelum kapal carian terpaksa digerak ke tugasan lain,” menurut kenyataan itu.
Menurut Voice370, walaupun kontrak carian itu dijadualkan berkuat kuasa hingga Jun tahun ini, terdapat kemungkinan operasi tidak dapat disambung semula dalam masa terdekat berikutan musim sejuk serta keadaan laut yang semakin buruk di kawasan berkenaan.
“Ini kontrak “tiada penemuan, tiada bayaran”, iaitu kerajaan tidak perlu membuat sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tidak dijumpai. Sebarang permintaan oleh Ocean Infinity untuk melanjutkan tempoh kontrak carian diberi wajar pertimbangan tanpa penangguhan,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan itu turut menghargai semua pihak yang menyumbang kepakaran, masa dan sumber bagi menyelesaikan misteri ini, serta berterima kasih kepada mereka yang bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam pencarian.
“Kami mengenang 239 penumpang bersama anak kapal MH370, yang kehilangannya masih dirasai setiap hari oleh keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan,” menurut kenyataan itu, sambil menambah mereka tidak akan pernah berputus asa dalam perjuangan mendapatkan jawapan.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, menjadikannya satu daripada misteri penerbangan terbesar dunia.
-- BERNAMA