PETALING JAYA: Cadangan mengehadkan akses media sosial kepada individu bawah 16 tahun di Malaysia bukan sekadar langkah kawal selia, sebaliknya berasaskan keperluan memastikan kematangan digital sebelum kebebasan diberikan.
Langkah itu menandakan peralihan pendekatan daripada sekadar mengawal penggunaan kepada membina kesiapsiagaan remaja dalam berdepan risiko dunia dalam talian.
Di sebalik perdebatan awam, persoalan utama kekal mengapa usia 16 tahun dipilih sebagai titik ambang dalam dasar tersebut.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, usia itu lazimnya mencerminkan tahap kematangan kognitif yang lebih stabil dalam kalangan remaja.
Menurutnya, pada peringkat tersebut, remaja mula berupaya menilai maklumat secara lebih rasional berbanding menerima kandungan secara pasif.
“Pelajar bawah 16 tahun selalunya menerima apa yang dipaparkan tanpa menilai situasi secara mendalam,” katanya.
Realiti itu selari dengan takrif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meletakkan remaja dalam lingkungan usia 10 hingga 19 tahun sebagai fasa perkembangan kritikal.
Dalam tempoh tersebut, perubahan pesat dari segi pemikiran dan sosial menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada pengaruh luar termasuk tekanan rakan sebaya dan manipulasi kandungan digital.
Mengulas lanjut, kaunselor Dr Anasuya Jegathevi Jegathesan berkata, remaja yang lebih muda cenderung menilai maklumat secara literal tanpa memahami konteks yang lebih luas.
“Mereka lebih mudah mempercayai apa yang diberitahu kerana cara pemikiran mereka masih bersifat konkrit,” jelasnya.
Namun, keupayaan tersebut berubah apabila usia meningkat dan pengalaman bertambah.
“Apabila meningkat usia, cara berfikir menjadi lebih kompleks, dan mereka lebih mampu mempersoalkan niat serta mengenal pasti unsur manipulasi,” katanya lagi.
Sehubungan itu, cadangan dasar berkenaan menetapkan bahawa individu bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka atau mengurus akaun media sosial secara sendiri.
Sebaliknya, akses masih dibenarkan melalui akaun yang dikawal ibu bapa sebagai langkah peralihan sebelum kebebasan penuh diberikan.
Pendekatan ini menekankan konsep penangguhan akses, bukannya larangan menyeluruh terhadap penggunaan teknologi digital.
Langkah sama turut dibincangkan dan dilaksanakan di Australia secara berperingkat-peringkat sebagai sebahagian daripada usaha perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Bagaimanapun, pakar berpandangan had umur sahaja tidak mencukupi untuk menangani cabaran keselamatan digital dalam kalangan kanak-kanak.
Pengasas bersama Protect and Save the Children, Amnani A Kadir berkata, pendekatan berasaskan umur tidak mengambil kira variasi tahap kematangan dan pengalaman pengguna muda.
“Ini langkah perlindungan baik, tetapi tidak mencukupi. Had umur semata-mata tidak mengambil kira perbezaan tahap kematangan, pengalaman dan literasi digital,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sekatan tanpa pemahaman terhadap corak penggunaan sebenar boleh membawa implikasi yang tidak diingini.
Dalam masa sama, kebergantungan kepada pemantauan ibu bapa juga dilihat tidak mampan dalam semua keadaan.
Menurutnya, kekangan masa dan sumber menjadikan pemantauan berterusan sukar dilaksanakan oleh sebahagian keluarga.
“Perlindungan perlu datang daripada reka bentuk platform yang lebih selamat, pendidikan digital dan hubungan berasaskan kepercayaan dan bukan sekadar pengawasan,” tegasnya.
Seiring itu, Dr Anasuya menegaskan kesediaan digital perlu dibina secara sistematik melalui pendidikan dan bimbingan berterusan.
Pendekatan menyeluruh ini dilihat penting bagi memastikan remaja bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berupaya menilai risiko serta bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial sebelum diberikan autonomi sepenuhnya.