Skip to main content

Malaysia

Mayat dikerat tujuh: Suspek 70-an dicekup kurang 24 jam

Person in handcuffs with blurred police lights in the background at night: FOTO: ADOBE STOCK
Suspek kini ditempatkan di hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan. - Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an yang disyaki terbabit dalam pembunuhan kejam seorang wanita, dengan mayat mangsa dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai pada Rabu.

Suspek ditahan sekitar jam 5 petang dalam satu operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah serta Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Bukit Aman.

Tangkapan itu dilakukan kurang 24 jam selepas seorang pekerja lori sampah menemui bahagian anggota badan mangsa pada jam 6.30 pagi.

Difahamkan, identiti suspek dikenal pasti melalui petunjuk yang diperoleh susulan penemuan kepala dan badan mangsa dalam operasi pencarian polis, selepas bahagian tangan dan kaki ditemui lebih awal di tong sampah berhampiran lokasi kejadian.

Petunjuk tersebut membawa kepada penjejakan suspek sehingga dia berjaya ditahan.

Menurut maklumat awal, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu yang mencetuskan pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, mengesahkan penahanan berkenaan.

“Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini, motif kejadian dipercayai cemburu. Dengan tertangkapnya suspek utama ini, kes berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan.

Terdahulu, orang awam dikejutkan dengan penemuan beberapa bahagian tubuh manusia di kawasan pembuangan sampah di Taman Indah Permai.

Penemuan awal melibatkan kaki dan tangan berhampiran kawasan parkir bersebelahan sebuah pasar raya sekitar jam 6.30 pagi.

Susulan itu, polis meneruskan operasi pencarian dengan bantuan pekerja lori sampah sebelum menemui kepala dan badan mangsa kira-kira jam 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai.

Setakat tengah hari Khamis, dua lagi bahagian tubuh mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan.

Kes berkenaan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat susulan kekejaman yang berlaku di kawasan tersebut.

 

 

Must Watch Video