KOTA BHARU: Keluarga pelajar perempuan berusia 19 tahun yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh di sini tengah malam semalam masih sukar menerima hakikat kehilangan insan tersayang yang baru dihantar menyambung pengajian minggu lepas.
Abang mangsa, Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata mereka sekeluarga datang ke Kelantan pada Sabtu lepas bagi menghantar adiknya, Nurfisya Zulkifly, 19, memulakan semester baharu di sebuah institusi, sebelum dikejutkan dengan berita tragis tengah hari tadi.
“Kami menerima panggilan daripada pihak polis pada 12.30 tengah hari memaklumkan adik telah meninggal dunia, namun kami tidak sanggup mendengar penjelasan lanjut ketika itu dan menamatkan panggilan.
“Tanpa berlengah, kami terus bertolak dari Kuala Kangsar, Perak ke Kelantan dan tiba di sini,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini malam tadi.
Beliau berkata mereka sekeluarga amat sedih kerana baru sahaja menghantar Allahyarham menyambung pengajian minggu lepas, namun kini terpaksa menguruskan kematiannya.
Mohd Faris berkata mereka sekeluarga pada mulanya tidak mengetahui punca kematian sehinggalah membaca laporan berita ketika dalam perjalanan di Jeli, petang semalam.
“Sebaik mengetahui kejadian sebenar, ibu dan bapa kami tidak mampu menahan kesedihan dan menangis tanpa henti kerana terlalu terkejut.
“Tiada perubahan pelik ditunjukkan arwah sebelum kejadian, namun ketika pulang bercuti ke Perak baru-baru ini, dia sempat menyatakan keinginan menikmati pelbagai makanan kegemaran,” katanya.
Beliau berkata adiknya baru memulakan pengajian semester ketiga daripada keseluruhan tujuh semester.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam kenyataan semalam memaklumkan mayat seorang wanita ditemukan dengan 61 kesan tikaman di atas jalan berhampiran sawah Kampung Simah, Ketereh.
Mohd Yusoff berkata mangsa yang berusia 19 tahun berasal dari Perak dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA