Skip to main content

Malaysia

MATTA Fair 2026: Penyertaan semula Macau sebagai destinasi antarabangsa pilihan

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Naib Presiden Penyelidikan & Teknologi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Hizzat Mohd Shah (kanan) bergambar bersama Bendahari Kehormat MATTA, Rocky Kho (kiri) dan Timbalan Pengarah Pejabat Pelancongan Macau, Cheng Wai Tong (tengah) ketika sidang media mengenai Macau: Destinasi Kegemaran Antarabangsa di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini._BERNAMA
Mohd Hizzat (kanan) bergambar bersama Rocky Kho (kiri) dan Cheng Wai Tong (tengah). Berlangsung dari 3 hingga 5 April ini di MITEC, Kuala Lumpur, MATTA Fair terus berfungsi sebagai pameran pelancongan pengguna terbesar di Malaysia. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2026 kembali dengan tawaran pelancongan, pengalaman budaya serta kerjasama antarabangsa yang lebih menarik, dengan tumpuan kepada Macau sebagai destinasi antarabangsa pilihan.

Berlangsung dari 3 hingga 5 April ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pameran itu terus berfungsi sebagai pameran pelancongan pengguna terbesar di Malaysia, menghubungkan pengunjung dengan destinasi global serta mengukuhkan komitmen MATTA dalam memacu pertumbuhan industri.

Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi MATTA, Mohd Hizzat Mohd Shah berkata, kembalinya Macau sebagai destinasi antarabangsa di MATTA Fair 2026 jelas mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk meneroka semula destinasi bertaraf dunia itu yang menawarkan budaya, hiburan, gastronomi dan pengalaman unik.

“Kami mahu setiap pengunjung merasai keterujaan merancang pengembaraan mereka, dengan keyakinan bahawa dunia sedang menanti dengan tangan terbuka,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata, tahun ini MATTA menawarkan lebih banyak tarikan unik di Pavilion Macau berbanding tahun lepas, termasuk pelbagai pengalaman budaya dan gastronomi seperti Festival Gastronomi Antarabangsa, yang menampilkan demonstrasi masakan serta sesi merasa makanan percuma.

Selain itu, turut diadakan perarakan antarabangsa, konsert dan pelbagai acara hiburan, serta Grand Prix Macau, yang menyumbang kepada suasana yang lebih meriah pada harga yang lebih berpatutan di Macau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau, Cheng Wai Tong berkata, penampilan Macau buat kali kedua berturut-turut sebagai destinasi antarabangsa pilihan di MATTA Fair, merupakan peluang terbaik untuk melonjakkan aliran pelawat dari Malaysia, satu daripada pasaran utama mereka di Asia Tenggara.

“Kami akan memanfaatkan sepenuhnya platform utama ini untuk mempamerkan tawaran ‘pelancongan +’ Macau serta memperkenalkan pelbagai produk pelancongan istimewa yang disesuaikan khusus untuk pelancong Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang merasai keunikan warisan budaya tidak ketara Macau melalui bengkel interaktif seperti ‘Tai Chi’, ‘Wing Chun’ dan seni lukisan jubin Portugis.

MATTA Fair tahun ini menghimpunkan 2,043 reruai dan penyertaan 330 organisasi, termasuk 210 agensi pelancongan yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang disusun khas.

Untuk maklumat terkini, layari mattafair.org.my atau ikuti di Facebook, X dan TikTok di @mattafair.official serta Telegram @MATTA_Fair.

-- BERNAMA

Must Watch Video