KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyeru masyarakat Tionghua di negeri ini agar terus menjadi rakan strategik pembangunan dalam usaha membina Sabah yang lebih berdaya maju.
Dalam perutusannya sempena Tahun Baharu Cina 2026, beliau berharap komuniti itu memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri serta memainkan peranan sebagai rakan kemajuan dalam pembangunan Sabah.
Hajiji berkata aspirasi Kerajaan Negeri adalah untuk terus memperkasa Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi memacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
"Melalui SMJ 2.0, kita memastikan kemajuan ini bersifat inklusif untuk semua dan kemakmuran negeri dinikmati secara inklusif tanpa mengira kaum dan latar belakang rakyat, kerana perpaduan adalah kunci utama kestabilan dan kemakmuran negeri ini," katanya dalam rakaman video pada Isnin.
Beliau menambah sambutan Tahun Baharu Cina yang melambangkan nilai kekeluargaan, perpaduan dan harapan baharu bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Tionghua, malah menjadi wadah memperkukuh keharmonian serta semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Hajiji berkata Tahun 2026 yang disambut sebagai Tahun Kuda Api membawa simbol tenaga, keberanian dan inovasi yang wajar dijadikan inspirasi untuk terus melangkah maju melalui perancangan tersusun serta kerjasama erat demi pembangunan Sabah yang mampan dan seimbang.
"Semangat ini menjadi inspirasi untuk kita terus melangkah maju dengan perancangan tersusun dan kerjasama erat demi pembangunan Sabah yang mampan dan seimbang.
"Saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Tionghua di Sabah khususnya dan di seluruh negara amnya," katanya.