MEKAH: Penerbangan KT051 yang sebelum ini mendarat di Muscat, Oman pada 4 Mei lalu telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.33 pagi waktu tempatan hari ini.
Seramai 278 jemaah haji yang menaiki penerbangan tersebut kemudiannya dibawa menaiki bas ke bangunan penginapan mereka di Rehab Al Janadriyah, Mekah dan tiba dengan selamat pada sebelah pagi.
Ketibaan rombongan jemaah itu disambut oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun bersama barisan pengurusan dan petugas TH yang telah bersiap siaga lebih awal bagi memastikan kebajikan jemaah terpelihara.
Menurut Mohd Hisham, TH kekal komited meletakkan kebajikan dan keselamatan jemaah sebagai keutamaan utama dalam setiap operasi haji.
“Walaupun menghadapi sedikit situasi yang tidak dapat dielakkan atas faktor teknikal penerbangan, namun atas usaha semua pihak, semua jemaah yang terlibat dapat dibawa dengan selamat ke Tanah Suci bagi mengerjakan urusan haji dan kesinambungan operasi haji diteruskan seperti biasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Oman atas bantuan yang diberikan kepada jemaah sepanjang berada di Oman, selain memuji kecekapan Malaysia Airlines menerusi operasi AMAL by Malaysia Airlines dalam mengendalikan situasi tersebut.
TH juga mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah atas kerjasama yang diberikan sepanjang proses perjalanan itu berlangsung.
Kesemua jemaah kini diberikan tempoh rehat sebelum memulakan pergerakan bagi menunaikan umrah pertama mereka di Tanah Suci.