Skip to main content

Malaysia

Akta MARA baharu dibentang tiga minggu lagi - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUYR, 3 Mei -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemubual media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid menegaskan komitmen untuk membentangkan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu dalam tempoh tiga minggu, lebih awal daripada jangka masa asal yang diberikan. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan komitmen untuk membentangkan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu dalam tempoh tiga minggu, lebih awal daripada jangka masa asal yang diberikan.

Beliau berkata, pindaan akta tersebut merupakan langkah strategik sebagai persediaan jangka panjang bagi mendepani keperluan negara dalam tempoh 40 tahun akan datang, selari dengan perubahan landskap ekonomi dan pembangunan Bumiputera.

Menurutnya, MARA yang diwujudkan hasil cetusan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera semasa Perhimpunan Agung UMNO, telah berkembang kukuh sehingga hari ini sebagai institusi penting dalam memperkasa masyarakat Bumiputera.

“MARA ini lahir daripada perjuangan orang politik yang berpijak di bumi nyata, memahami denyut nadi rakyat. Ia terus kekal relevan kerana asas perjuangannya yang jelas,” katanya dalam sesi soal jawab pada Perhimpunan Kami Gen MARA: Unplugged Ansara, pada Selasa.

Zahid berkata, meskipun beliau dicabar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan akta baharu itu dalam tempoh tiga bulan, sokongan pelbagai pihak membolehkan proses tersebut dipercepatkan kepada hanya tiga minggu.

“Akta MARA baharu ini telah siap dan sedia untuk dibentangkan. Kita bukan sahaja mahu bergerak pantas, tetapi memastikan kecekapan dalam setiap aspek pelaksanaan,” katanya.

Tambah beliau, penggubalan akta baharu itu tidak hanya tertumpu kepada enam teras utama, malah memberi penekanan kepada elemen penting seperti tadbir urus, pengurusan, pelaburan serta pelaksanaan ekosistem pendidikan yang merangkumi keusahawanan dan teknologi baharu.

Beliau menegaskan, akta tersebut juga dirangka bagi memastikan kesiapsiagaan MARA dalam mendepani cabaran masa depan serta merangkumi pembangunan menyeluruh masyarakat Bumiputera.

“Kita diberi tanggungjawab ini bukan sekadar untuk hari ini, tetapi untuk memastikan 40 tahun akan datang jauh lebih baik dan mandiri,” katanya.

Must Watch Video