SEREMBAN: Malaysia tidak akan membantah sekiranya ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata, perkara itu merupakan urusan dalaman kerajaan AS dan bukan sesuatu yang akan diambil tindakan rasmi oleh Malaysia.
“Kita tidak menyokong laluan itu. Tetapi sudah tentu ia adalah Amerika Syarikat, urusan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Belia Negara 2026, di sini.
Anwar mengulas sama ada kerajaan Malaysia akan membuat sebarang representasi rasmi kepada pihak berkuasa AS bagi membantah sekiranya pengampunan diberikan kepada Jho Low.
Perdana Menteri turut menyifatkan isu berkenaan sebagai “bukan isu” dari sudut pandangan Malaysia.
“Setakat yang saya tahu, ia bukan satu isu. Saya juga tidak dimaklumkan bahawa beliau telah mengemukakan permohonan pengampunan.
“Walaupun beliau telah memohon, ia bukan perkara yang perlu kita bincangkan kerana beliau masih melalui proses perundangan di mahkamah,” katanya.
Jho Low, dilaporkan sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu
Memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa, permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, mengikut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.
Jika permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa laman web Jabatan Keadilan (DOJ) AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Taek Jho Low.
Menurut laporan itu, butiran permohonan itu dikategorikan sebagai "Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman" (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.
Jho Low menjadi individu yang paling dikehendaki susulan dakwaan peranannya sebagai dalang utama dalam skandal penyelewengan dana berbilion ringgit milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat pelaburan strategik milik kerajaan Malaysia.