Skip to main content

Bisnes

BNM perkenal SME SRF berjumlah RM5 bilion sokong PKS terjejas oleh konflik Asia Barat

Sumber: BERNAMA
Menurut BNM, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 untuk tempoh hingga lima tahun, dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75 peratus setahun termasuk yuran jaminan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF), kemudahan pembiayaan berjumlah RM5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk perusahaan mikro, yang terjejas oleh konflik semasa di Asia Barat. 

Menurut BNM, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 untuk tempoh hingga lima tahun, dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75 peratus setahun termasuk yuran jaminan. 

“Pembiayaan ini akan disokong oleh jaminan hingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), terutamanya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perbincangan meja bulat dengan ketua pegawai eksekutif institusi kewangan pada  21 April lepas, SME SRF akan menyediakan pembiayaan modal kerja bagi membantu perniagaan yang berdaya maju meneruskan operasi dan mengharungi tempoh ketidakpastian ini. 

Menurut BNM, permohonan untuk SME SRF akan dibuka mulai 15 Mei 2026 hingga  31 Dis 2026 atau sehingga kemudahan ini digunakan sepenuhnya. 

PKS boleh memohon secara terus kepada institusi kewangan peserta, termasuk bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM. 

“Dalam persekitaran semasa, BNM amat menggalakkan perniagaan yang menjangkakan atau sudahpun mengalami kesukaran kewangan untuk berhubung lebih awal dengan institusi kewangan masing-masing.

“Tindakan proaktif membolehkan bank bekerjasama dengan peminjam untuk mengenal pasti penyelesaian yang sesuai, termasuk fleksibiliti bayaran balik pinjaman, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan atau langkah-langkah sokongan lain yang disesuaikan untuk membantu perniagaan kekal berdaya maju,” menurut bank pusat. 

Selain itu, PKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat kewangan, sokongan pendidikan kewangan serta bantuan khidmat nasihat bayaran balik pinjaman secara menyeluruh daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui program seperti Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu dan peniaga milikan tunggal serta Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) untuk PKS.

-- BERNAMA

Must Watch Video