Skip to main content

Malaysia

MAIS galak bakal jemaah urus wasiat sebelum tunai haji

71717928707_kaabahhajiarabs.jpg
Kempen itu sebahagian daripada inisiatif tahunan MAIS untuk meningkatkan kesedaran bakal jemaah haji mengenai kepentingan menyediakan dokumen wasiat, merancang pembahagian harta dan memastikan pengurusan harta pusaka dilaksanakan mengikut tuntutan syarak. - Gambar fail

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Kempen Wasiat Dhuyufurrahman dari esok hingga 20 Mei bagi menggalakkan masyarakat Islam membuat wasiat sebelum menunaikan ibadat haji.

Pengerusi MAIS Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata kempen itu sebahagian daripada inisiatif tahunan MAIS untuk meningkatkan kesedaran bakal jemaah haji mengenai kepentingan menyediakan dokumen wasiat, merancang pembahagian harta dan memastikan pengurusan harta pusaka dilaksanakan mengikut tuntutan syarak.

“Melalui kempen ini, MAIS bersedia bertindak sebagai wasi bagi menguruskan wasiat sekiranya berlaku kematian semasa bermusafir haji.

“Dengan menyediakan wasiat, ia dapat mengurangkan risiko pertikaian pusaka antara waris termasuk menggalakkan tindakan segera dalam kalangan masyarakat Islam untuk merancang harta secara patuh syariah di samping mengelakkan berlakunya isu harta pusaka beku,” katanya.

Salehuddin berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Kempen Wasiat Dhuyufurrahman 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai badan berautoriti agama Islam, MAIS mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi, pentadbir harta pusaka dan pemegang amanah harta orang Islam selaras dengan subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Melalui kempen itu, MAIS menawarkan harga promosi serendah RM200 bagi perkhidmatan Pelantikan Wasi dan Penyediaan Surat Wasiat sekali gus memberi peluang kepada masyarakat Islam merancang pengurusan harta secara lebih teratur dan selaras dengan tuntutan syarak.

“MAIS mensasarkan tawaran ini kepada bakal jemaah haji 2026. Selain itu, orang ramai yang belum atau telah menunaikan haji tetapi tidak mempunyai wasiat boleh merebut peluang kempen ini untuk membuat wasiat bermula sekarang,“ katanya.

Permohonan wasiat boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi MAIS di https://siswa.mais.gov.my atau dengan mengimbas kod respon pantas disediakan. 

Maklumat lanjut mengenai kempen juga boleh didapati di laman sesawang atau media sosial rasmi MAIS.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video