SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang sebelum ini mengarahkan kerja-kerja merobohkan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Taman Rawang Perdana dihentikan sementara.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim selepas membenarkan permohonan semakan jenayah yang difailkan pemohon, sekali gus membatalkan perintah terdahulu Mahkamah Majistret.
Mahkamah menyatakan telah meneliti hujahan kedua-dua pihak serta dokumen berkaitan sebelum membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
Pihak pengurusan kuil diwakili peguam Rajesh Nagarajan dan Amanda Mathew, manakala Yayasan Kubra diwakili Muhammad Hariz Md Yusoff.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Selayang memerintahkan kerja-kerja merobohkan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Taman Rawang Perdana dihentikan sementara sehingga isu itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili pihak pengurusan kuil berkata, Majistret Chai Guan Hock membuat keputusan itu selepas mendapati wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah terbabit.
Beliau turut memaklumkan mahkamah mengambil kira kemungkinan timbul ketegangan awam sekiranya isu tersebut tidak dikendalikan dengan baik.
Mahkamah ketika itu turut mengeluarkan perintah awal mengikut Seksyen 99(1) Kanun Prosedur Jenayah terhadap Yayasan Kubra berhubung dakwaan pemusnahan dan gangguan terhadap kuil berkenaan.
Seksyen tersebut merujuk kepada kuasa mahkamah untuk mengeluarkan perintah awal apabila terdapat aduan bahawa sesuatu tindakan telah menyebabkan gangguan awam atau bahaya kepada ketenteraman awam.