Skip to main content

Malaysia

Mafia korporat: 41 saksi dipanggil, tiada pegawai SPRM - PDRM

fotoBERNAMA
Tiada pegawai SPRM dalam kalangan 41 saksi yang dipanggil PDRM.

SHAH ALAM: Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kalangan 41 saksi yang dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan isu 'mafia korporat' membabitkan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong.

Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid berkata, siasatan kes ini masih berjalan.

"Seramai 41 saksi telah dipanggil setakat ini. Tiada pun pegawai SPRM dalam kalangan saksi-saksi tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jelasnya, kes ini melibatkan beberapa individu yang disyaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian.

Kata beliau, siasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menguruskan wang yang berasal daripada aktiviti haram.

Pada Isnin, Fazlisyam mengesahkan Victor Chin antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Op Viking dari 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari lepas.

Victor Chin telah ditahan pada Disember lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis namun ahli perniagaan itu mungkin dipanggil semula sekiranya perlu.

Menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan (RM64,246,417) dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27B dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016. -Sinar Harian

Must Watch Video