Skip to main content

Malaysia

MADANI Mart berkonsepkan pelesenan dengan kerjasama usahawan - Fuziah

JOHOR BAHRU, 4 April -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh bercakap kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi yang diperkasa melalui aplikasi digital eCOSS di sebuah pasar raya di Johor Bahru, hari ini._BERNAMA
Fuziah berkata, MADANI Mart memberi fleksibiliti kepada usahawan untuk menjayakan perniagaan dengan bantuan rantaian bekalan daripada Yayasan MADANI. - Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: MADANI Mart dilaksanakan menerusi konsep pelesenan dengan kerjasama usahawan bagi menjayakan inisiatif berkenaan sekali gus tidak bergantung kepada dana kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, Yayasan MADANI yang merupakan pemilik jenama MADANI Mart mengawal ekosistem termasuk dalam melatih, menyediakan sistem, harga dan analisis runcit yang berpandukan kecerdasan buatan (AI).

“MADANI Mart memberi fleksibiliti kepada usahawan untuk menjayakan perniagaan dengan bantuan rantaian bekalan daripada Yayasan MADANI.

“Yayasan MADANI tidak menerima dana daripada kerajaan dan juga tidak mengeluarkan modal untuk MADANI Mart. Setiap MADANI Mart dimiliki secara persendirian,” katanya. 

Fuziah berkata demikian selepas sesi jelajah mesra di sebuah pasar raya di sini pada Sabtu, semasa diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa inisiatif itu seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan cawangan pertama MADANI Mart di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Inisiatif MADANI Mart yang diterajui Yayasan MADANI merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat berteraskan slogan "Kedai Runcit Harga Rahmah”.

Pada perasmian itu, Fuziah berkata, MADANI Mart pendekatan strategik yang signifikan dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat secara lebih menyeluruh dan bersasar serta tidak melibatkan pengeluaran modal daripada kerajaan, sebaliknya digerakkan melalui model kerjasama strategik melibatkan sektor awam iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), operator atau pemegang lesen (swasta) dan Yayasan MADANI (sosial).

MADANI Mart juga membuka ruang kepada komuniti dan usahawan tempatan untuk turut serta dalam perniagaan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video