Skip to main content

Advertisement

Malaysia

LRT Mutiara Line: Lapan minit merentasi laut, 90 peratus sokong projek

lrt, mutiara line, mrt corp
LRT Mutiara Line, yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka beroperasi pada Disember 2031 akan merentasi kira-kira 29.67 kilometer dengan 20 stesen serta dua stesen sementara. - Gambar/ MRT Corp

GEORGE TOWN: GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line dijangka merubah landskap pengangkutan awam di Pulau Pinang dengan menghubungkan laluan sibuk di pulau itu melalui rangkaian rel ringan yang pantas dan efisien.

Satu daripada ciri paling menarik projek ini ialah jejambat merentasi laut antara Pulau Pinang dan tanah besar, yang dijangka mengambil masa hanya kira-kira lapan minit berbanding 82  minit memandu semasa waktu puncak.

Pengarah projek LRT Mutiara Line Azmi Abd Rahman berkata sambungan berkenaan akan meningkatkan ketepatan perjalanan bagi para pengguna, terutamanya mereka yang bergerak setiap hari antara tanah besar dan pulau untuk bekerja.

“Satu daripada manfaat utama bukan sahaja masa perjalanan lebih singkat, malah konsistensi. Perjalanan merentasi laut dijangka mengambil kira-kira lapan minit dan waktunya konsisten, sekali gus membantu pengguna merancang perjalanan dan jadual kerja dengan lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kios Pemeriksaan Awam di Komtar, baru-baru ini.

Beliau berkata projek berkenaan juga akan memberi manfaat kepada pengguna dari bahagian pulau yang ingin meneruskan perjalanan ke negeri lain dengan kereta api, kerana boleh disambungkan ke Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) di Penang Sentral dan meneruskan perjalanan ke bandar-bandar seperti Kuala Lumpur.

Mengenai reaksi orang ramai terhadap cadangan jambatan merentasi laut bagi laluan LRT berkenaan, Azmi berkata maklum balas amat memberangsangkan dengan lebih 90 peratus responden Pemeriksaan Awam menyokong projek itu setakat ini.

Beliau berkata kebanyakan mereka teruja dengan pembangunan itu, kerana ia bakal menjadi lintasan rel pertama seumpamanya di Malaysia dan jambatan berkenaan, dengan ketinggian span utama kira-kira 62 meter (m) dari paras laut, akan jelas kelihatan serta berpotensi menjadi mercu tanda baharu Pulau Pinang.

“Lintasan ini akan lebih jelas kelihatan berbanding infrastruktur sedia ada merentasi selat. Kami berharap ia akan menjadi satu lagi struktur ikonik bagi Pulau Pinang dan berpotensi menjadi tarikan pelancong pada masa hadapan,” katanya.

Lintasan merentasi laut sepanjang kira-kira enam kilometer ini menghubungkan stesen Macallum dan Penang Sentral, dengan keseluruhan perjalanan dijangka mengambil masa lapan minit.

Jambatan laut yang akan dibina dijangka setinggi 62 m dari paras laut, dan mempunyai dua span navigasi utama sepanjang 450 meter setiap satu, membolehkan laluan selamat untuk kapal besar dan aktiviti pelabuhan.

Sementara itu, Azmi berkata sesi Pemeriksaan Awam telah berlangsung selama dua minggu dan menerima penyertaan memberangsangkan daripada penduduk di bahagian pulau dan Seberang Perai.

“Maklum balas diterima setakat ini amat positif dan menyokong. Kami telah menubuhkan tapak Pemeriksaan Awam di beberapa lokasi termasuk Komtar, Penang Sentral, stesen KTM Butterworth serta beberapa kawasan lain bagi mengumpul pandangan orang ramai,” katanya.

Selain tapak pameran, beliau berkata pasukan itu juga membuka kaunter bergerak di acara awam untuk meningkatkan penglibatan, termasuk semasa perayaan seperti Chap Goh Meh dan Hari Raya yang akan datang.

Terdahulu, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan sesi Pemeriksaan Awam bagi mengumpul maklum balas mengenai skim keretapi yang disemak untuk pelanjutan LRT Mutiara Line.

Sesi Pemeriksaan Awam berlangsung tiga bulan bermula 24 Feb hingga 24 Mei ini, memberikan peluang kepada orang ramai untuk menyemak dan memberi komen mengenai pelanjutan laluan, lokasi stesen serta butiran projek berkaitan.

LRT Mutiara Line, yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka beroperasi pada Disember 2031 akan merentasi kira-kira 29.67 kilometer dengan 20 stesen serta dua stesen sementara.

Sebagai sistem transit metro bersepadu pertama di utara, ia direka untuk meningkatkan hubungan bahagian pulau dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan akses.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video