Skip to main content

Malaysia

Lelaki pakai vest, helmet polis tanpa kebenaran ditahan

Sumber: VIDEO TULAR
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki memakai vest dan helmet berlogo polis yang dilaporkan tanpa kebenaran sah.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan ditahan polis susulan penularan video memaparkan individu memakai vest dan helmet berlogo polis tanpa kebenaran yang sah, sekali gus menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar, pihaknya menerima maklumat mengenai video tular itu yang dimuat naik di platform TikTok.

Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku pada Jumaat minggu lalu sebelum rakaman berkenaan tersebar di media sosial.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis menahan suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun di kawasan USJ, Subang Jaya, Selangor bagi membantu siasatan.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menggunakan pakaian atau peralatan polis tanpa kebenaran dan seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mohd Fairus berkata, siasatan turut melibatkan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 berkaitan kelakuan tidak senonoh di tempat awam selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kandungan jelik.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan.

 

 

Must Watch Video