Skip to main content

Malaysia

Lelaki mengamuk di 'pasar karat', peniaga buah parah kena parang

61546151870_GaduhRopewalk.jpg
Seorang peniaga buah parah di leher selepas ditetak seorang lelaki dalam pergaduhan di Pasar Karat, Lorong Kulit, di sini, pada pagi Ahad.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa yang berusia 46 tahun itu sedang bersiap  sedia menyusun buah di meja untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, secara tiba-tiba seorang lelaki berusia 35 tahun yang tinggal berhampiran dikatakan mengamuk  dengan membawa sebilah parang lalu menghampiri mangsa.

Katanya, berlaku pertengkaran antara mereka  sebelum suspek  bertindak menetak belakang leher mangsa menggunakan parang.

Polis yang tiba di lokasi kejadian  selepas dihubungi orang ramai  cuba menenangkan suspek namun gagal menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan  dan mengenai kaki suspek.

Menurut Che  Zaimani, punca sebenar kejadian masih belum dikenalpasti, namun siasatan awal mendapati mangsa dan suspek  dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Kedua-dua mereka kini berada di Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan diaporkan stabil.

Che Zaimani berkata, ibu suspek memaklumkan anaknya pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental dan sering mengamuk.

Kes disiasat mengikut seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa yang  beralamat di Jalan Raja Laut Chow Kit, Kuala Lumpur itu mempunyai 26 rekod lampau atas pelbagai kesalahan termasuk dadah manakala  suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kecurian.

Must Watch Video