KUANTAN: Sebanyak 18 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri, merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta RMK13 membabitkan kos bernilai lebih RM3.1 bilion, giat dilaksanakan di seluruh Pahang.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata daripada jumlah itu, 11 projek telah bermula secara fizikal, enam projek dalam proses reka bentuk dan satu projek baharu telah diluluskan dalam Rolling Plan (RP) Pertama RMK13.
“Projek RTB yang dilaksanakan ini sudah tentu dapat mengurangkan risiko banjir dan banjir besar. Kerajaan negeri juga dari semasa ke semasa akan menilai situasi dan melihat sekiranya ada kawasan lain yang perlu dikurangkan risiko banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan V. Arumugam (BN-Sabai) berkaitan perkembangan dan pelaksanaan projek RTB di seluruh Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata projek RTB yang telah bermula secara fizikal adalah di daerah Pekan, Temerloh, Lipis dan Bera, manakala projek dalam proses reka bentuk pula melibatkan Bentong dan Raub.
Mengulas tentang skop kerja RTB, beliau berkata antaranya mendalamkan sungai, membina ban banjir dan mengukuhkan tebing sungai.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar atau pengenaan caj baharu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) buat sementara waktu.
Beliau berkata keputusan itu diambil menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 29 April bagi mengelakkan kesan domino yang membebankan rakyat susulan krisis global.
“Keputusan ini berupaya mengimbangi kesan kenaikan kos secara menyeluruh dan memelihara kesejahteraan rakyat serta kelangsungan aktiviti ekonomi negeri,” katanya.
Mohammad Fakhruddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) sama ada Majlis Daerah Rompin akan terus mengekalkan harga sewaan gerai di Kuala Rompin pada tahap tidak membebankan penyewa.
-- BERNAMA