KUALA LUMPUR: Lebih sembilan juta pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kini menikmati perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh menerusi pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam yang berkuat kuasa mulai hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, skim yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu memperluaskan jaringan perlindungan kepada pekerja formal termasuk bagi kemalangan bukan bencana kerja yang berlaku di luar waktu pekerjaan.
Menurutnya, pelaksanaan skim berkenaan dibuat secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu.
“Pelaksanaan skim bawah Perkeso ini adalah secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada, tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.
“Bagi individu yang baru diambil bekerja dan melapor diri selepas 1 Jun 2026, majikan wajib mendaftarkan pekerja tersebut mengikut prosedur sedia ada melalui sistem Perkeso,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Skim LINDUNG 24 Jam atau Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) diwujudkan bagi memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu bekerja dan tidak berkait secara langsung dengan pekerjaan mereka.
Perlindungan tersebut meliputi pelbagai situasi termasuk kemalangan di rumah, kemalangan jalan raya di luar perjalanan kerja, kecederaan ketika aktiviti peribadi, riadah dan aktiviti sosial di dalam negara.
Sebelum pengenalan skim itu, kemalangan yang berlaku di luar skop pekerjaan tidak dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan walaupun boleh memberi kesan besar terhadap keupayaan pekerja untuk meneruskan kehidupan dan pekerjaan mereka.
Ramanan berkata, caruman Skim LINDUNG 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji RM6,000.
Bagi fasa pertama, kadar caruman ditetapkan pada 0.75 peratus daripada gaji bulanan sebelum meningkat kepada satu peratus dan 1.25 peratus dalam fasa seterusnya.
Katanya, majikan bertanggungjawab menguruskan potongan gaji pekerja serta membuat bayaran caruman kepada Perkeso setiap bulan bagi memastikan perlindungan berterusan tanpa gangguan.
“Menerusi skim LINDUNG 24 Jam, Perkeso memperuntukkan lapan faedah demi kelangsungan dan kebajikan pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, serta Faedah Orang Tanggungan.
“Selain itu, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work (RTW), serta Faedah Pendidikan bagi menyokong masa depan waris,” ujarnya.
Selain perlindungan kewangan, skim berkenaan turut menyediakan rawatan perubatan, kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional, bekalan alat bantuan seperti kerusi roda dan tongkat, serta bantuan pendidikan kepada tanggungan yang layak.
Perkeso menganggarkan kira-kira 250,000 pekerja setahun yang terlibat dalam kemalangan bukan berkaitan pekerjaan bakal mendapat manfaat menerusi pelaksanaan skim tersebut.
Tambahnya, perluasan perlindungan itu selari dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta amalan terbaik antarabangsa dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut menjadikan sistem perlindungan sosial negara lebih komprehensif dan relevan dengan keperluan semasa pasaran buruh.
“Usaha terbaharu dirintis Perkeso menjadikan jaringan keselamatan sosial di Malaysia kini lebih menyeluruh, dinamik dan relevan dengan realiti semasa pasaran buruh, selain menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam menjamin kebajikan serta kesejahteraan tenaga kerja negara,” jelasnya.
Sebarang permohonan faedah boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal LINDUNG Faedah atau di mana-mana pejabat Perkeso berhampiran.