JOHOR BAHRU: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) terus mempergiat usaha memperkukuh pertumbuhan pelancongan serantau menerusi sesi penglibatan strategik Business to Business (B2B) berimpak tinggi yang berlangsung di Grand Paragon Hotel, di sini.
Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Azmil Munif Mohd Bukhari berkata, sesi berkenaan menghimpunkan penggiat inovasi pelancongan dari Langkawi bersama pemain industri pelancongan dari Johor dan Singapura.
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan landasan penting dalam misi LADA untuk meningkatkan keterlihatan Langkawi dalam pasaran jarak dekat, di samping memupuk kerjasama profesional yang menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan mampan.
“Kepentingan penglibatan ini terserlah melalui hubungan perjalanan yang kukuh antara Langkawi dan wilayah selatan, yang terus menjadi pemacu utama ekonomi pulau ini.
“Pasaran ini menunjukkan tahap daya tahan yang memberangsangkan. Tahun lalu, kehadiran pelancong dari Singapura ke Langkawi merekodkan kira-kira 60,000 orang, manakala pelancong dari Johor sekitar 70,000 orang.
“Tahun ini, kita menyasarkan peningkatan jumlah tersebut secara lebih agresif. Dengan mengambil kira keadaan geopolitik semasa, LADA optimis ketibaan pelancong dari Johor dan Singapura masing-masing dapat mencapai 100,000 dan 80,000 orang menjelang akhir tahun,” katanya pada sidang media selepas sesi tersebut, semalam.
Azmil berkata, bagi memanfaatkan momentum berkenaan, program B2B berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan khusus, membolehkan pemain industri beralih daripada pendekatan promosi umum kepada mengenal pasti rakan strategik yang berpotensi mengembangkan capaian pemasaran Langkawi secara lebih berkesan.
“Melalui pertemuan secara langsung ini, LADA mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk rundingan perniagaan serta pembangunan pakej pelancongan bersama.
“Kita berada di sini bagi mempromosikan Kedah dan Langkawi yang menawarkan pelbagai produk pelancongan baharu dan menarik.
"Di Langkawi sahaja, terdapat sekitar 70 lokasi tarikan pelancong, tidak termasuk pelbagai aktiviti yang boleh dinikmati pengunjung,” katanya.
Tambah beliau, pengukuhan kerjasama industri turut membuka akses kepada segmen bernilai tinggi seperti sektor MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran), pelancongan keluarga premium, serta kumpulan pelancong berasaskan minat khusus.
“Melalui sinergi profesional ini, pembangunan pakej rentas sempadan dapat meningkatkan daya tarikan serantau Langkawi dengan menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih tersusun, lancar dan bernilai.
“Kejayaan strategi ini juga disokong oleh kesalinghubungan langsung antara Langkawi, Johor dan Singapura yang kekal menjadi faktor utama ketibaan pelawat,” katanya.
Secara keseluruhan, Azmil menegaskan inisiatif tersebut merupakan langkah signifikan ke arah merealisasikan sasaran 3.65 juta ketibaan pelancong ke Langkawi menjelang tahun 2026.