Skip to main content

Malaysia

KTMB laksana penstrukturan semula jadual tren di Lembah Klang mulai 18 April

61618241795_KTMKomuter.jpg
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan penstrukturan semula jadual perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang bermula 18 April ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan penstrukturan semula jadual perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang bermula 18 April ini.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil susulan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) di antara Stesen Salak Selatan hingga Stesen Seremban.

Menurut kenyataan itu penjadualan semula tersebut bertujuan memberi laluan kepada kerja menaik taraf landasan sepanjang 67 kilometer agar dapat dilaksanakan dengan lebih selamat dan efisien, selain mempercepatkan garis masa penyiapan projek berkenaan.

"Pelaksanaan ini melibatkan operasi menggunakan sistem landasan tunggal bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan tren penumpang dan tren barangan di laluan terlibat.

“Rasionalisasi ini melibatkan naik taraf sistem landasan, persemboyanan dan infrastruktur bagi meningkatkan keselamatan, kestabilan serta kecekapan perkhidmatan rel dan kebolehpercayaan sistem rel untuk jangka panjang,” menurut kenyataan itu. 

Sepanjang tempoh pelaksanaan projek yang dijangka hingga akhir tahun ini, kekerapan waktu puncak pagi dan petang bagi perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang dioptimumkan kepada lima perkhidmatan dengan selang masa setiap 15 dan 30 minit

“Sepanjang tempoh pelaksanaan ini, tiada perkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi dari 10 hingga 4 petang bagi laluan Midvalley-Pulau Sebang dan Pulau Sebang-Bandar Tasik Selatan,” menurut kenyataan itu. 

Selain itu, landasan di antara Stesen Salak Selatan hingga Stesen Seremban akan ditutup sepenuhnya dari 10 malam hingga 6 pagi bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dan naik taraf dijalankan secara lebih intensif.

Dalam pada itu, penstrukturan ini juga melibatkan pelarasan jadual dan nombor tren bagi dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral.

Menurut KTMB tren EP9530 (dahulunya EP9536) dari JB Sentral ke KL Sentral kini akan bertolak pada  3 petang dan tiba pada 7.20 malam manakala tren EP9535 (dahulunya EP9537) dari KL Sentral ke JB Sentral akan bertolak pada 8 malam dan tiba pada 12.20 tengah malam.

Selain itu, perkhidmatan ETS selebihnya dan KTM Kargo dilaporkan akan terus beroperasi seperti biasa.

Para pengguna disarankan merancang perjalanan lebih awal dan menyemak jadual terkini melalui laman sesawang atau media sosial rasmi KTMB, atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 untuk sebarang pertanyaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video