PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil pendekatan seimbang dalam menyampaikan maklumat berkaitan krisis tenaga global iaitu secara berterus-terang dan pada masa yang sama mencuba sedaya upaya untuk menumpukan terhadap kebajikan rakyat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan berdepan cabaran besar dalam memastikan rakyat bersedia menghadapi kemungkinan kesan krisis tersebut tanpa mencetuskan panik atau sikap ambil mudah.
“Jadi pendekatan kita ambil ialah berterus terang. Berkongsi maklumat. Ya, kita sedang menghadapi isu bekalan. Kita sedang menghadapi cabaran kenaikan harga.
“Kita tidak mahu rakyat panik, maknanya tak boleh ada denial syndrome (enggan mengakui realiti sebenar). Tak mahu juga rakyat ambil sikap complacent, business as usual (ambil mudah, tidak ada apa-apa yang berlaku). Ini cabaran,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata kerajaan mahu rakyat memahami realiti yang sedang dihadapi tanpa menimbulkan kekeliruan atau tekanan yang tidak perlu dalam masyarakat.
Susulan krisis semasa, beliau berkata peranan pasukan penguat kuasa juga perlu dipertingkat kerana perbezaan harga yang ketara akan mendorong berlakunya ‘channel switching’ (aktiviti alih saluran) sekali gus meningkatkan risiko penyeludupan termasuk melalui laluan laut.
Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
-- BERNAMA