Skip to main content

Malaysia

Krisis bekalan global: Kerajaan dahulukan insentif pembajakan RM200 sehektar, bantu 240,000 pesawah

51768550500_pesawah.jpg
Pesawah padi kelihatan mengusahakan sawah dengan jentera pembajak di kawasan pertanian, menggambarkan keperluan kos awal penanaman yang tinggi. Pendahuluan insentif pembajakan RM200 sehektar yang diumumkan kerajaan bertujuan membantu pesawah meneruskan aktiviti penanaman padi tanpa gangguan, susulan peningkatan kos operasi dan cabaran semasa. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendahulukan bayaran insentif pembajakan padi sebanyak RM200 sehektar kepada 240,000 pesawah berdaftar sebagai sebahagian daripada ikhtiar bantuan khas bagi meringankan beban golongan tersebut.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada bantuan khas pesawah yang sebelum ini telah dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar, seperti diumumkan pada April lalu.

Menurut beliau, pendahuluan berkenaan bertujuan membantu pesawah menampung kos awal, khususnya bagi sewaan jentera serta kerjakerja pembajakan, susulan peningkatan kos pengeluaran yang dipengaruhi konflik Asia Barat.

“Di kalangan pesawah padi, keluhan itu didengari. Kita telah menambah bantuan khas insentif pembajakan pada 14 April lalu yang diumumkan Menteri Pertanian (Datuk Seri Mohamad Sabu, dari RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah padi ekoran kenaikan harga diesel komersial.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) tadi berstuju untuk membayar wang pendahuluan, iaitu kadar khas insentif pembajakan kerana sewa mesin bajak dan program pembajakan itu mesti diteruskan, tapi ia perlukan modal.

"Öleh itu, kita berpendapat berikan pendahuluan RM200 (sehektar) supaya mereka boleh jalankan kegiatan penanaman padi. Ada implikasi kewangan RM48 juta yang kita luluskan, dan memberi manfaat kepada 240,000 pesawah berdaftar,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Krisis Bekalan Global yang disiarkan pada Selasa.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, selain bantuan kewangan, kerajaan turut mengarahkan langkah segera pembenihan awan bagi menangani masalah kekurangan air akibat musim kemarau yang lebih panjang daripada kebiasaan, khususnya di kawasan utara Semenanjung.

Beliau berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diarahkan untuk meningkatkan operasi pembenihan awan di kawasan terjejas, selain meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang mempunyai keupayaan berkaitan untuk meneruskan usaha bantuan dalam tempoh beberapa hari ini.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu penting bagi membantu memastikan bekalan air mencukupi untuk kegunaan pertanian, terutama sawah padi, sekali gus menyokong kelangsungan aktiviti penanaman dan keselamatan bekalan makanan negara.

Must Watch Video