Skip to main content

Dunia

WHO: Jangkitan Hantavirus sesama manusia berlaku dalam kapal persiaran

Cruise ship MV Hondius docks off Cape Verde port, as passengers were not allowed off the ship, while health authorities investigated suspected cases of hantavirus aboard the vessel, in Praia Port, Cape Verde, May 4, 2026. Picture taken with a mobile phone. REUTERS/Stringer TPX IMAGES OF THE DAY
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) percaya penularan hantavirus dari manusia ke manusia telah berlaku di kapal persiaran di Atlantik, pakar epidemiologi WHO Maria Van Kerkhove memberitahu sidang akhbar di Geneva pada Selasa. - Foto REUTERS

VIENNA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) percaya penularan hantavirus dari manusia ke manusia telah berlaku di kapal persiaran di Atlantik, pakar epidemiologi WHO Maria Van Kerkhove memberitahu sidang akhbar di Geneva pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Tiga penumpang kapal persiaran Hondius -- yang kini berlabuh di Cape Verde dengan kira-kira 140 penumpang dan anak kapal -- telah meninggal dunia dalam wabak berkenaan.

Mangsa ialah pasangan warga emas rakyat Belanda dan seorang warga Jerman. WHO pada masa ini mengesyaki sejumlah tujuh jangkitan virus itu, dengan ujian makmal berterusan.

Terdahulu, WHO menyiarkan pada X: "Jangkitan hantavirus biasanya dikaitkan dengan pendedahan alam sekitar (pendedahan kepada air kencing atau najis tikus yang dijangkiti)." Tetapi Van Kerkhove berkata penularan sesama manusia adalah mungkin dengan varian Andes yang disyaki dalam kes itu.

WHO percaya rantaian jangkitan bermula dengan pasangan Belanda yang mungkin dijangkiti sebelum menaiki pesawat.

Van Kerkhove menegaskan ramai penumpang di kapal itu telah melakukan perjalanan untuk melihat haiwan liar dan aktiviti serupa.

Beliau mencadangkan jangkitan lanjut mungkin berlaku di ruang terkurung di atas kapal Hondius namun tidak menolak jangkitan daripada tikus di pulau yang dilawati semasa pelayaran.

Pengendali Belanda Oceanwide Expeditions menegaskan tiada tikus di atas kapal itu, yang sedang belayar dari Argentina ke Cape Verde ketika penumpang jatuh sakit.

Van Kerkhove berkata persiapan sedang dibuat untuk memindahkan dua pesakit di atas kapal ke Belanda.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video