Skip to main content

Malaysia

KPDN perjelas isu pam diesel 'angin' susulan video tular

MINYAK
Tangkap layar video tular di media sosial mendakwa meter di sebuah stesen minyak sekitar Jalan Segambut, Kuala Lumpur masih merekodkan bayaran meskipun tiada diesel yang dikeluarkan daripada nozel. -Foto video tular

KUALA LUMPUR: Ketiadaan sistem pengesan isipadu automatik atau ciri automatic cut‑off pada sesetengah stesen minyak dikenal pasti sebagai punca meter pam terus merekodkan bayaran meskipun bekalan diesel telah habis dan tiada lagi bahan api dikeluarkan daripada nozel.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata penemuan itu hasil siasatan terhadap satu rakaman video yang tular di media sosial, yang mendakwa bayaran dikenakan walaupun hanya ‘angin’ keluar daripada nozel.

Menurut beliau, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Segambut, di sini, pada Khamis lalu.

“Stesen minyak berkenaan bergantung kepada kaedah pemeriksaan manual atau manual dipping untuk menentukan isipadu stok bahan api dalam tangki bawah tanah.

“Dalam kes ini, semakan mendapati jumlah sebenar diesel yang diisi pelanggan ialah sebanyak RM232.07,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata pihak stesen minyak telah memulangkan semula bayaran penuh kepada pelanggan terbabit, yang bersetuju dengan kaedah penyelesaian berkenaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memaklumkan pemeriksaan teknikal mendapati semua pam minyak di premis berkenaan masih berada dalam tempoh tentusah yang sah, manakala ujian Sukat Isipadu Cecair (SIC) 20 liter menunjukkan bacaan berada dalam had dibenarkan.

Selain itu, semakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mendapati lesen Controlled Supply Article (CSA) dan Petroleum Development Act (PDA) stesen berkenaan adalah sah serta masih berkuat kuasa.

“Pihak stesen minyak telah diberikan amaran keras supaya meningkatkan pemantauan operasi dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan yang ditetapkan.

“Kejadian ini bersifat terpencil dan tidak mencerminkan keadaan keseluruhan sistem bekalan bahan api negara yang kekal stabil dan terkawal,” katanya.

Menurut beliau, KPDN akan terus mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan bagi melindungi kepentingan pengguna, selain menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.

Must Watch Video