Skip to main content

Malaysia

Kos penternakan tinggi punca amalan lepas bebas lembu masih berlaku di Kelantan

LEPAS BEBAS LEMBU
Sebahagian penternak masih memilih kaedah tradisional dengan membiarkan ternakan mencari makanan sendiri di kawasan ragutan terbuka bagi mengurangkan kos makanan dan pembinaan kandang. - Gambar hiasan/Bernama

KOTA BHARU: Tekanan kos penternakan yang semakin meningkat dipercayai menjadi antara faktor utama amalan melepaskan lembu secara bebas masih berlaku di Kelantan, sekali gus mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya, terutama di laluan utama pada waktu malam.

Di sebalik usaha pihak berkuasa membendung isu haiwan rayau, sebahagian penternak masih memilih kaedah tradisional dengan membiarkan ternakan mencari makanan sendiri di kawasan ragutan terbuka bagi mengurangkan kos makanan dan pembinaan kandang.

Pengerusi Persatuan Jurusuntik Permanian Beradas Negeri Kelantan Harun Hazim Zakaria berkata kenaikan harga dedak, makanan ternakan serta kos membina kandang dan pagar menyebabkan ada penternak mengambil jalan mudah dengan melepaskan ternakan tanpa kawalan berterusan.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian persatuan itu, masalah haiwan rayau lebih ketara di kawasan ladang kelapa sawit dan kawasan yang mempunyai padang ragut luas berbanding kawasan bandar yang kebanyakannya menggunakan sistem kandang.

“Apabila kawasan ragutan berhampiran dengan jalan utama, risiko kemalangan menjadi lebih tinggi kerana haiwan boleh melintas secara tiba-tiba dan mengancam nyawa pengguna jalan raya,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Harun Hazim berkata penyelesaian isu berkenaan memerlukan kerjasama kerajaan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan penternak menerusi pendidikan berterusan, penguatkuasaan lebih konsisten serta penggunaan sistem penandaan atau tagging bagi memudahkan pemilik ternakan dikenal pasti.

Sementara itu, penternak dari Kampung Jambu Merah, Melor, Mohamad Syahir Syazwan Zakaria berkata dia memilih menggunakan sistem kandang walaupun terpaksa membelanjakan lebih RM100,000 untuk membina kandang besi yang mampu menempatkan lebih 100 ekor lembu kerana menganggap pelaburan itu penting demi keselamatan awam dan kawalan ternakan yang lebih sistematik.

Beliau berkata kos makanan ternakan ketika ini boleh mencecah RM50 hingga RM60 sehari, namun penternak yang tidak mampu membina kandang besar sekurang-kurangnya perlu menyediakan pagar ringkas bagi mengelakkan ternakan berkeliaran dan membahayakan pengguna jalan raya.

Seorang lagi penternak, Raja Mohammad Lukman Raja Ibrahim dari Kampung Lepan Jaya berkata kos membina kandang untuk 20 ekor lembu boleh mencecah kira-kira RM15,000 menyebabkan ada penternak memilih sistem “lembu ladang” yang membolehkan ternakan dilepaskan di kawasan kelapa sawit bagi menjimatkan kos, namun kaedah itu memerlukan pemantauan rapi bagi mengelakkan risiko kepada orang ramai.

Ahmad Yusri Abdul Rahman pula berkata tekanan kos akibat harga daging yang rendah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan keselamatan, sambil menyokong tindakan tangkap dan sita terhadap ternakan yang berkeliaran. 

Pada tahun lepas, sebanyak 191 kemalangan membabitkan lembu direkodkan di Gua Musang dengan kerugian melebihi RM1.14 juta, manakala laluan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi, terutama pada waktu malam dan ketika hujan lebat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement