KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat Koperal yang ditahan kerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang wanita di sebuah kedai runcit di Kampung Kemumin di sini, tahun lepas.
Mohd Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa, Nik Zainab Nik Zul Azhar, 34, di sebuah premis di Kampung Kemumin, Jalan Sabak, kira-kira 10.30 malam pada 7 Nov 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
Kamarul Hasyime memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan dengan tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada setiap bulan.
Peguam tertuduh memohon agar jaminan dibenarkan pada kadar paling rendah atas alasan anak guamnya kini hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan sekitar RM30 hingga RM50 sehari selepas ditahan kerja pada 2023.
"Tertuduh juga perlu menanggung seorang isteri yang bertugas sebagai jururawat dan sedang menghidap kanser ovari tahap tiga sejak 2022, serta dua anak yang masih bersekolah.
"Anak guam saya juga menghidap penyakit darah tinggi dan tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan dia menetap bersama keluarganya di Kota Bharu," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan perlu melapor diri di IPD Kota Bharu setiap bulan dan menyerahkan pasport.
Nik Habri menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
-- BERNAMA