Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Rakyat diseru bersatu, perkukuh daya tahan hadapi cabaran - Anwar

Anwar Ibrahim_X@jpmgov_
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua langkah itu penting dalam berdepan ujian walaupun situasi negara masih terkawal dibandingkan dengan negara-negara serantau yang lain. - Bernama

KUALA LUMPUR: Rakyat diseru untuk terus bersatu, memperkukuh daya tahan serta memperbaiki kelemahan dalam menghadapi cabaran semasa susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesemua langkah itu penting dalam berdepan ujian walaupun situasi negara masih terkawal dibandingkan dengan negara-negara serantau yang lain.

"Negara-negara jiran semua sudah buat catuan. Ada negara, minyaknya berharga RM10, ada yang (melaksanakan) catuan, ada yang tidak ada kedai-kedai minyak dan stesen minyak satu negara 400 sudah ditutup. Kita alhamdulillah masih bertambah.

"Jadi anak-anak, kita bersyukur dan kita bekerja. Kita bersatu. Pakat, baiki kelemahan kita. Tingkatkan daya tahan kita. Jangan bebal. Jangan mengeluh dan bebal. Kerana dalam keadaan ujian ini, kita perlu daya tahan," kata Anwar ketika berucap pada Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 di Kuantan, hari ini.

Untuk rekod, susulan konflik di Asia Barat, kerajaan bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi semua kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April 2026.

Kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah penampan bagi meredakan impak krisis tenaga global terhadap rakyat, termasuk menyerap kos sekitar RM4 bilion sebulan bagi mengekalkan harga bahan api serta mengawal kesan kenaikan kos sara hidup.

Sebagai langkah tambahan, kerajaan juga menyelaraskan kuota BUDI MADANI 95 kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa serta-merta, selain menguatkuasakan penggunaan diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Must Watch Video