Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Operasi haji 1447H berjalan seperti dijadual, Mekah aman - Zulkifli

Zulkifli Hasan. Kredit: Astro AWANI
Zulkifli (tengah) berkata bakal jemaah haji tidak perlu bimbang, dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa - Foto/Astro AWANI

PUTRAJAYA: Operasi ibadah haji bagi musim 1447H/2026 berjalan seperti dijadualkan dan tidak terjejas walaupun terdapat kebimbangan susulan konflik di Asia Barat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, berkata perkara itu disahkan oleh kerajaan Arab Saudi selepas sesi Forum Umrah dan Ziarah bersama Menteri Haji dan Umrah negara berkenaan.

“Kerajaan Arab Saudi memberi jaminan bahawa keadaan di sana adalah aman dan damai, dan urusan haji tahun ini akan berjalan seperti biasa,” katanya selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini pada Sabtu malam.

Beliau berkata bakal jemaah haji tidak perlu bimbang, dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, beliau menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan dan keselamatan diri, selain sentiasa berwaspada serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh TH.

Menurutnya, penerbangan ke Tanah Suci akan bermula dari 18 April hingga 20 Mei 2026, manakala penerbangan pulang dijadualkan antara 4 hingga 30 Jun 2026.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan bagi membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini.
 

Must Watch Video