KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik peranan Pakistan dalam usaha mediasi bagi meredakan ketegangan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi perkara itu ketika perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, sambil memaklumkan Malaysia mengikuti rapat perkembangan semasa di rantau berkenaan.
"Saya mengikuti rapat perkembangan konflik di Asia Barat serta menyambut baik peranan mediasi yang dimainkan oleh Pakistan dalam meredakan ketegangan, termasuk usaha mempertemukan pihak-pihak berkepentingan," katanya dalam hantaran Facebook pada Khamis.
Anwar menegaskan Malaysia kekal berpendirian bahawa sebarang inisiatif ke arah menghentikan pertumpahan darah dan memulihkan kestabilan serantau wajar disokong sepenuhnya.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pemimpin turut mengambil kesempatan bertukar ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri serta mendoakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara.
Sebelum ini, Menteri Luar Pakistan, Tahir Hussain Andrabi berkata Islamabad sentiasa terbuka untuk memudah cara dialog sekiranya kedua-dua pihak menunjukkan kesediaan untuk berunding.
Menurut beliau, Pakistan secara konsisten berpendirian bahawa diplomasi adalah jalan terbaik bagi menjamin keamanan dan kestabilan serantau.
Meskipun Iran menafikan penglibatan dalam rundingan rasmi dengan Amerika Syarikat, laporan beberapa agensi berita antarabangsa menunjukkan Pakistan, Mesir dan Turkiye memainkan peranan penting dalam membuka ruang diplomasi antara Washington dan Tehran.