Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Malaysia-Australia teliti langkah segera pastikan bekalan tenaga kekal stabil

PUTRAJAYA, April 16 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (right) speaks at a joint press conference with his Australian counterpart, Anthony Albanese at Perdana Putra Complex today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Perdana Menteri bercakap pada sidang media bersama sempena Lawatan Kerja Rasmi Albanese, di sini pada Khamis. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia sedang meneliti langkah segera serta pelan kontingensi bagi memastikan aliran bekalan tenaga kekal stabil susulan potensi gangguan di Selat Hormuz akibat konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu telah dibincangkan secara terperinci bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, termasuk keperluan domestik kedua-dua negara dalam sektor tenaga.

Menurut Anwar, Malaysia dan Australia akan menilai secara terperinci keperluan tenaga masing-masing bagi mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat bersama.

“Jadi kita meneliti butiran secara terperinci. Kami juga telah bertemu dengan kepimpinan PETRONAS, dan mereka akan meneruskan perbincangan secara lebih terperinci.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah melihat terlebih dahulu keperluan domestik kita serta keperluan tenaga domestik Australia, dan melihat bagaimana kita boleh saling membantu atas dasar timbal balik,” katanya pada sidang media bersama sempena Lawatan Kerja Rasmi Albanese, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, terdapat beberapa bidang dan keperluan tertentu yang diperlukan Malaysia daripada Australia, selain produk yang diperlukan Australia daripada Malaysia.

Ia sekali gus menjadikan kerjasama itu berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua negara, kata Anwar.

Sementara itu, Albanese berkata hubungan antara Malaysia dan Australia terus memberi manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya dalam perdagangan tenaga dan bekalan pertanian.

Menurutnya, Australia merupakan pengeksport utama gas asli cecair (LNG) ke Malaysia, manakala Australia turut menerima pelbagai produk dari Malaysia termasuk bahan api dan baja.

“Australia yakin akan terus memenuhi kontrak yang telah dimeterai dengan Malaysia kerana keselamatan bekalan tenaga adalah amat penting dalam memperkukuh hubungan di rantau ini,” katanya.

Dalam masa sama, Albanese menambah kedua-dua negara turut membincangkan prospek mempertingkatkan lagi hubungan dalam sektor tenaga, termasuk menugaskan PETRONAS serta kementerian berkaitan di Australia untuk melaksanakan kajian lanjut dalam menghadapi cabaran global semasa.

Albanese sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dan disambut secara rasmi di Kompleks Perdana Putra, hari ini. 

Must Watch Video