Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Kumpulan pertama rakyat Malaysia terkandas di Dubai selamat tiba ke tanah air

SEPANG, 5 Mac -- Rakyat Malaysia yang terkandas di Timur Tengah susulan ketegangan geopolitik di rantau itu, selamat tiba di tanah air dengan perasaan syukur selepas beberapa penerbangan dibatalkan.  Mereka pulang menerusi penerbangan Emirates EK342 dari Dubai yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 9.40 malam tadi.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Difahamkan mereka ialah kumpulan pertama yang berjaya kembali ke tanah air selepas enam hari terkandas di Dubai susulan penutupan ruang udara akibat konflik di Asia Barat. - Gambar Bernama

SEPANG: Sekumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai sejak 28 Feb lepas selamat tiba ke tanah air malam ini dengan penerbangan Emirates EK342.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 9.40 malam.

Difahamkan mereka ialah kumpulan pertama yang berjaya kembali ke tanah air selepas enam hari terkandas di Dubai susulan penutupan ruang udara akibat konflik di Asia Barat.

Gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada akhir bulan lepas serta serangan balas Tehran terhadap pangkalan tentera AS di seluruh rantau itu telah memaksa sebahagian besar ruang udara di Asia Barat ditutup sekali gus memberi kesan kepada penerbangan di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya lapan negara mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing apabila konflik tercetus termasuk Iran, Iraq, Jordan, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berkongsi pengalaman, Pirativ Rao, 30, berkata beliau dan ibu bapanya menyertai rombongan percutian ke Eropah pada 17 Feb lepas namun terkandas di Dubai ekoran penutupan ruang udara.

"Seramai 18 orang dalam rombongan itu memulakan perjalanan pada 17 Feb lepas dan sepatutnya pulang ke Malaysia melalui Dubai pada 28 Feb lepas tetapi penerbangan kami dibatalkan selepas berita pengeboman di Iran tersebar," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mereka terpaksa berlindung di hotel sepanjang tempoh tersebut namun bersyukur kerana Kerajaan UAE dan syarikat penerbangan Emirates menyediakan kemudahan penginapan serta makanan kepada penumpang yang terkandas.

"Pengalaman paling mencemaskan berlaku apabila sistem amaran kecemasan mengeluarkan notifikasi mengenai kemungkinan serangan peluru berpandu.

"Kemudian kami menerima amaran sekitar 1 pagi supaya menjauhi tingkap dan kawasan tinggi... kami panik dan terus dibawa turun (oleh pihak hotel) ke tingkat bawah untuk berlindung," katanya.

Rao berkata mereka turut mendengar beberapa letupan pada waktu malam yang dipercayai berpunca daripada sistem pertahanan yang memintas peluru berpandu.

"Kami tidak dapat tidur sepanjang malam kerana bunyi letupan dan amaran…ia pengalaman yang sangat menakutkan kerana kami tidak pernah melalui situasi seperti itu sebelum ini… kami rasa sangat bersyukur akhirnya dapat pulang ke Malaysia dengan selamat," katanya.

Sementara itu, mutawif umrah Shaifuddin Hashim, 63, yang terkandas di Jeddah pula melahirkan kesyukuran selepas selamat tiba ke tanah air.

Beliau berkata penerbangan asalnya dijadualkan pada 1 Mac namun dimaklumkan akan ditangguh sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz.

"Alhamdulillah, tempat penginapan selesa dan makan juga disediakan... kami hanya menunggu sehingga dimaklumkan penerbangan pada 5 Mac telah disahkan," katanya.

Shaifuddin juga berkata suasana di Jeddah ketika itu dilihat seperti biasa tanpa sebarang rasa panik.

"Sepanjang empat hari kami berada di sana, suasana berjalan seperti biasa... orang ramai juga kelihatan menjalankan aktiviti seperti biasa," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video