Skip to main content

Dunia

Iran dakwa urus 26 kapal lalui Selat Hormuz dalam 24 jam

Vessels in the Strait of Hormuz near Bandar Abbas, Iran, May 4, 2026. Amirhosein Khorgooi/ISNA/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Selat Hormuz merupakan laluan penting perdagangan global, dengan kira-kira satu perlima eksport tenaga dunia melalui kawasan itu. - Foto fail/REUTERS

TEHRAN: Iran mendakwa telah menyelaras pergerakan 26 kapal melalui Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam, ketika rundingan dengan Amerika Syarikat berhubung pembukaan semula laluan perkapalan di kawasan strategik itu masih menemui jalan buntu.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa semua trafik di Selat Hormuz kini dikendalikan dengan “kebenaran dan penyelarasan” Tentera Laut IRGC, menurut laporan media berkaitan kerajaan, ISNA.

Perkembangan itu berlaku susulan langkah Iran memperketat kawalan di selat berkenaan, termasuk penetapan zon maritim terkawal yang mewajibkan kapal mendapatkan kelulusan sebelum transit.

Zon tersebut meliputi laluan dari Kuh-e Mubarak di Iran ke selatan Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di bahagian timur, serta dari Pulau Qeshm ke Umm al-Quwain di bahagian barat.

Selat Hormuz merupakan laluan penting perdagangan global, dengan kira-kira satu perlima eksport tenaga dunia melalui kawasan itu sebelum konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran tercetus pada 28 Februari.

Ketegangan meningkat selepas Tehran bertindak menyekat laluan itu, yang kemudiannya dibalas oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump dengan sekatan terhadap pelabuhan Iran, sekali gus menjejaskan eksport minyak negara itu.

Kebuntuan berterusan antara kedua-dua pihak kini memberi tekanan besar kepada pasaran tenaga global dan mencetuskan kebimbangan mengenai kesan ekonomi yang lebih luas.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) turut memberi amaran bahawa gangguan di Selat Hormuz boleh mencetuskan krisis harga makanan global dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Menurut FAO, kesan gangguan tersebut berlaku secara berperingkat, bermula dengan peningkatan kos tenaga, diikuti baja dan benih, penurunan hasil pertanian, kenaikan harga komoditi, seterusnya membawa kepada inflasi makanan.

Sementara itu, Trump mendakwa terdapat “kemajuan” dalam rundingan dengan Iran, tetapi mengancam akan mengambil tindakan ketenteraan jika perjanjian gagal dicapai.

Sebagai tindak balas, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi memberi amaran bahawa sebarang kembalinya konflik akan membawa “lebih banyak kejutan”, manakala IRGC menegaskan bahawa sebarang serangan baharu terhadap Iran akan memperluaskan konflik di luar rantau itu.

Penganalisis melihat kedua-dua pihak masih berpegang kepada strategi tekanan ekonomi dan ketenteraan, dengan harapan dapat meningkatkan kelebihan dalam rundingan, sekali gus menjadikan penyelesaian dalam masa terdekat sukar dicapai.
 

 

Must Watch Video

Advertisement