KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bekalan tenaga negara kekal stabil meskipun konflik yang berlarutan di Asia Barat berpotensi memberi tekanan kepada pasaran tenaga global serta ekonomi dunia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Malaysia masih mempunyai bekalan tenaga mencukupi yang dijana daripada minyak, gas dan arang batu.
Justeru, katanya sistem penjanaan elektrik serta operasi utiliti negara dijangka terus berjalan lancar.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa memantau perkembangan geopolitik global kerana ketegangan di rantau Asia Barat berupaya memberi kesan kepada harga komoditi, khususnya tenaga di pasaran antarabangsa.
“Malaysia mempunyai bekalan minyak, gas dan arang batu yang mencukupi untuk menyokong kestabilan sistem tenaga negara.
"Buat masa ini, bekalan kita masih stabil dan mampu menampung keperluan domestik,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Hari Penglibatan Dana Pelaburan bersama Malaysia (MYCIF) di Bukit Kiara Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan impak konflik Asia Barat terhadap harga tenaga dan ekonomi negara.
Amir Hamzah berkata, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menguruskan kenaikan harga tenaga bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, beberapa produk tenaga di Malaysia masih menerima subsidi kerajaan bagi membantu rakyat, manakala produk yang tidak disubsidi pula ditentukan berdasarkan harga pasaran semasa.
“Bagi produk yang tidak disubsidi, harganya akan mengikut harga pasaran. Namun kerajaan tetap berusaha memastikan langkah yang diambil tidak memberi tekanan berlebihan kepada rakyat.
"Jadi, buat masa ini, pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan kita membantu rakyat dalam masa tekanan.
"Tetapi ia juga memerlukan rakyat dan syarikat-syarikat di negara ini mengambil pendekatan kerjasama.
"Jadi, jika ada apa-apa yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan penggunaan perkara-perkara yang mungkin terjejas dalam hal ini, ia akan membantu kerana kita perlu faham bahawa impaknya bukan sahaja isu untuk Malaysia, tetapi ia adalah isu untuk seluruh dunia," katanya.
Beliau menegaskan pendekatan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan bekalan tenaga dan pada masa sama melindungi kepentingan rakyat.
“Pendekatan kerajaan adalah untuk terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan supaya stok simpanan tenaga negara sentiasa berada pada tahap stabil,” katanya.
Beliau berkata, impak kenaikan harga tenaga bukan sahaja dirasai Malaysia, sebaliknya memberi kesan kepada hampir semua negara di dunia.
“Ini bukan isu yang hanya menjejaskan Malaysia, tetapi isu global. Apabila berlaku konflik geopolitik, sudah tentu harga komoditi dan tenaga akan terkesan,” katanya.
“Kita juga menggalakkan rakyat dan syarikat untuk bekerjasama dengan mengambil pendekatan lebih cekap dalam penggunaan tenaga kerana langkah itu boleh membantu mengurangkan tekanan kos,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan sektor itu kekal berdaya tahan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Kerajaan menyediakan pelbagai platform pembiayaan termasuk kerjasama pelaburan antara kerajaan dan sektor swasta bagi membantu syarikat tempatan mendapatkan modal dan terus berkembang,” katanya.