Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Israel 'mengkudakan' AS untuk capai agenda sendiri

ABDELRAHMAN IBRAHIM
Abdelrahman Ibrahim, berkata perang yang sedang berlaku ketika ini pada hakikatnya bukanlah perang Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR: Israel didakwa mempergunakan Amerika Syarikat (AS) sebagai 'alat' dalam konflik yang sedang memuncak di Asia Barat, dengan menjadikan kuasa besar itu sebagai pelindung kepentingan geopolitiknya. 

Menurut Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Abdelrahman Ibrahim, apa yang berlaku hari ini hakikatnya bukanlah perang yang tercetus daripada kepentingan AS, sebaliknya konflik yang digerakkan dan dipacu oleh Israel demi mencapai agendanya di rantau tersebut.

"Amerika (Syarikat) ditarik ke dalam perang ini. Perang ini bukan perang Amerika (Syarikat), ia adalah perang Israel. 

"Apa yang berlaku sekarang ialah Israel mengkudakan Amerika, menjadikan negara itu sebagai 'kuda' untuk mencapai kepentingan mereka." katanya pada Buletin AWANI Khas - Konflik Asia Barat, di sini pada Rabu.

Abdelrahman memberitahu, perkara itu turut disokong dengan kenyataan yang didakwa pernah dibuat Menteri Luar AS dalam pertemuan bersama beberapa anggota kanan Kongres, yang menyifatkan konflik berkenaan sebagai perang Israel dan bukan perang AS.

"Bayangkan apabila seorang Menteri Luar sendiri menyatakan perkara itu kepada kelompok paling berpengaruh di Kongres.

"Ini menunjukkan Amerika (Syarikat) sebenarnya 'ditarik' ke dalam konflik yang bukan berpunca daripada kepentingan langsungnya,” katanya.

Menurutnya, jika konflik berterusan, kerugian yang ditanggung AS berpotensi menyamai atau bahkan melebihi kerugian Israel.

Mengulas perkembangan serangan balas Iran, beliau berkata tindakan Tehran yang menyasarkan kepentingan AS di negara Arab turut memburukkan keadaan. 

Beliau merujuk kepada kenyataan tokoh Iran, Ali Larijani, yang membezakan antara Qatar sebagai negara sahabat dengan pangkalan tentera AS di negara itu, yang disifatkan sebagai 'tanah AS'. 

"Pangkalan Amerika (Syarikat) di Qatar dianggap tanah Amerika Syarikat, begitu juga pangkalan di Bahrain. 

"Ini bermakna sebarang serangan terhadap pangkalan berkenaan memberi implikasi langsung kepada Amerika Syarikat dan membesarkan kerugian mereka," katanya. 

Pada  masa sama, Abdelrahman berpendapat negara-negara kecil Arab dilihat cenderung mengikut keputusan AS dalam isu keselamatan dan geopolitik, biarpun melibatkan kepentingan serta kedaulatan sendiri. 

Beliau merujuk kepada isu pembunuhan berprofil tinggi yang pernah mencetuskan ketegangan diplomatik, apabila Riyadh dilaporkan mempunyai pelaburan kira-kira AS$7 bilion (RM31 billion ) di AS dan menyatakan hasrat untuk menarik balik pelaburan berkenaan. 

"Apabila Arab Saudi menyatakan mahu menarik pelaburan mereka, timbul reaksi daripada kepimpinan Amerika Syarikat ketika itu yang seolah-olah mempertikaikan tindakan berkenaan. 

"Bayangkan, itu pelaburan milik mereka sendiri. Mereka melabur dan mahu menarik semula, tetapi wujud tekanan. Ini menunjukkan bagaimana keputusan strategik akhirnya tetap tertakluk kepada pendirian Washington," katanya. 

Beliau mendakwa situasi itu menggambarkan seolah-olah sesetengah negara Arab menyerahkan keputusan penting kepada Presiden AS, tanpa mengira siapa yang memegang jawatan itu, termasuk Donald Trump.

Must Watch Video