KUALA LUMPUR: Persetujuan gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan negara itu tewas dalam konflik yang berlarutan hampir 40 hari, sebaliknya membuka ruang strategik kepada Tehran untuk mengukuhkan pengaruhnya, khususnya di Selat Hormuz.
Pakar hubungan antarabangsa dan pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nor Aishah Hanifa berkata gencatan senjata berkenaan memberi peluang kepada Iran menggunakan kelebihan geopolitiknya, terutama kedudukannya di laluan perdagangan minyak utama dunia itu.
Jelas beliau, Selat Hormuz disifatkan sebagai ‘senjata ekonomi’ kepada Iran, dan penutupan laluan itu bukan sahaja menjejaskan rantau Asia Barat, malah memberi kesan kepada ekonomi global termasuk sistem petrodolar.
"Jadi, AS akan mengalami akibat yang teruk jika petrodolar itu merosot, kerana petroleum merupakan satu aset yang sangat penting kepada negara-negara perindustrian, bukan sahaja AS tetapi juga kepada seluruh dunia.
"Pada masa ini, jika Iraq-Iran membuka Selat Hormuz selepas kata sepakat dicapai, ini menunjukkan bahawa gencatan senjata telah pun bermula," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Menurutnya, pembukaan semula Selat Hormuz susulan persetujuan gencatan senjata menunjukkan langkah awal ke arah meredakan ketegangan, dengan laluan perkapalan dijangka kembali beroperasi dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, Nor Aishah berkata Iran telah mengemukakan beberapa tuntutan penting yang masih dalam peringkat rundingan, termasuk penamatan konflik di beberapa wilayah lain seperti Lubnan, Yaman dan Palestin, khususnya di Gaza.
Selain itu, katanya Iran menuntut kawalan penuh ke atas Selat Hormuz, hak menentukan protokol pelayaran, kebenaran membangunkan kuasa nuklear serta pampasan perang daripada AS dan Israel bagi tujuan pembangunan semula negara itu.
"Antara tuntutan baharu ialah cadangan mengenakan tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz selepas perang, sebagai usaha membantu pemulihan ekonomi Iran," katanya.
Beliau berkata, AS bagaimanapun belum menerima tuntutan tersebut dan dijangka membincangkannya dalam rundingan yang melibatkan peranan mediasi Pakistan di Islamabad.
Gencatan senjata masih rapuh
Mengulas lanjut, Nor Aishah berkata gencatan senjata itu masih bersifat rapuh dan berisiko untuk kembali kepada konflik sekiranya kedua-dua pihak gagal mematuhi syarat yang dipersetujui.
Beliau turut menekankan peranan AS dalam memastikan sekutunya tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan perjanjian tersebut.
"Perang boleh meletus dalam masa dua minggu ini, jika kedua-dua pihak ini tidak berhati-hati ataupun kurang berhati-hati.
"Apa yang penting adalah kedua-dua belah pihak perlu perlu mengikuti dengan kuat ataupun mematuhi gencatan senjata ini supaya tidak ada satu pihak yang menyalahgunakan.
"AS juga perlu memastikan supaya Israel tidak menyalahgunakan kuasanya untuk membatalkan ataupun menganggu gencatan senjata ini," ujar beliau lagi.
Populariti Trump merosot
Nor Aishah menambah gangguan di Selat Hormuz sepanjang konflik memberi kesan besar kepada ekonomi AS, termasuk mencetuskan kenaikan harga petroleum serta kos barangan yang membebankan rakyat.
Jelas beliau, situasi itu turut memberi tekanan kepada pentadbiran Trump apabila sokongan rakyat terhadapnya dilaporkan merosot.
Menurut beliau, keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap peluang Trump untuk dipilih semula pada Pilihan Raya Presiden yang dijadualkan berlangsung pada November ini.
"Apa yang dicetuskan oleh Trump telah pun merosotkan keadaan dan tahap ekonomi AS.
"Masyarakat mungkin akan membuat keputusan berlainan apabila Pilihan Raya Presiden pada November ini, dan adakah Trump akan dipilih semula? Itu satu soalan yang penting," kata Nor Aishah.
Trump pada Selasa mengumumkan penggantungan dua minggu operasi ketenteraan terhadap Iran susulan pengantaraan oleh Pakistan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pula berkata Majlis Keselamatan Negara Tertinggi mengisytiharkan bahawa Tehran akan menghentikan operasi pertahanan jika serangan ke atas negara itu ditamatkan.