SETIAP 13 Februari, pengamal penyiaran dunia menyambut Hari Radio Sedunia yang diisytiharkan oleh UNESCO sebagai pengiktirafan terhadap peranan radio sebagai medium komunikasi, pendidikan dan hiburan yang unik dan berpengaruh sejak hampir satu abad lalu.
Untuk tahun 2026, tema yang dipilih ialah “Radio dan Kecerdasan Buatan (AI)” - satu penghormatan kepada bagaimana teknologi pintar kini bukan sekadar alat bantu tetapi merombak cara radio beroperasi, berinteraksi dan berkhidmat kepada pendengar dalam konteks Revolusi Industri 4.0.
Dinamika khalayak radio
Laporan AC Nielsen dan GfK Radio Audience Measurement (RAM) 2025 menunjukkan bahawa radio masih menjadi medium penting di Malaysia walaupun dunia digital semakin dominan.
Pendengar mingguan radio adalah sekitar 20.2 juta orang, iaitu lebih 90 peratus populasi berusia 10 tahun ke atas dengan purata masa mendengar kira-kira 12 jam seminggu.
Corak pendengaran radio kekal dominan di dalam kereta, dengan audiens setia merangkumi semua lapisan masyarakat dan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai pilihan utama.
Menariknya juga liputan yang kian meluas dalam kajian terbaru (2025) buat pertama kali meliputi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, memberi gambaran menyeluruh tentang tabiat pendengar bandar dan luar bandar.
Sementara itu, laporan DataReportal (Digital Malaysia, 2025) menekankan bahawa kadar penembusan internet yang telah mencapai 96 peratus rakyat Malaysia.
Trend digital dikenal pasti menunjukkan penstriman muzik dan podcast semakin meningkat, namun radio kekal relevan kerana sifatnya percuma, mudah diakses, dan dekat dengan komuniti tempatan.
Generasi muda lebih cenderung kepada pengalaman media yang dipersonalisasi, namun masih bergantung kepada radio untuk berita segera dan hiburan harian.
Radio digital dengan penggunaan aplikasi mudah alih dan penstriman online semakin meningkat, menunjukkan radio sedang menyesuaikan diri dengan ekosistem digital.
Dari gelombang analog ke algoritma pintar
Era Revolusi 4.0 ditandai dengan kebangkitan kecerdasan buatan, Internet of Things (IoT), big data dan automasi pintar yang memasuki setiap aspek proses kerja industri.
Dalam sektor penyiaran radio di Malaysia, transformasi ini telah mempercepatkan usaha untuk proses pendigitalan, mengoptimumkan operasi dan menyampaikan kandungan yang lebih relevan kepada pendengar.
Dalam konteks ini, AI berfungsi bukan sebagai pengganti suara manusia, tetapi sebagai alat sokongan strategik; dari penjadualan kandungan, analisis data pendengar, pembentukan segmen yang dipersonalisasi, hingga peningkatan kualiti siaran.
AI mampu memproses sejumlah besar data tingkah laku pendengar yang kompleks dan menerjemahkannya kepada penghasilan program yang lebih dinamik dan berimpak.
Transformasi ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam rantaian nilai digital global, agar AI menjadi pemangkin kecekapan, inovasi dan produktiviti dalam industri media.
Namun, proses ini juga memerlukan agenda latihan berterusan, kerana teknologi berkembang lebih pantas daripada kebanyakan struktur kerja tradisional.
Membina interaksi mesra pendengar melalui AI
Salah satu kekuatan paling ketara apabila menggabungkan AI dalam radio ialah keupayaan untuk memperkaya interaksi dengan pendengar.
Dengan analisis data stesen radio boleh mengetahui minat, tabiat mendengar dan keperluan segmen khalayak yang pelbagai, khususnya generasi muda.
AI boleh digunakan untuk mencipta chatbot suara yang responsif, menyediakan cadangan segmen bersandarkan sejarah interaksi pendengar, atau bahkan menjalankan tinjauan automatik secara masa nyata.
Teknologi ini membuka ruang kepada naratif dua hala yang lebih mendalam, bukan lagi komunikasi satu arah yang konvensional.
Namun demikian, kekuatan teknologi ini juga membawa cabaran besar: bagaimana memastikan interaksi AI tidak terasa mekanikal atau ‘dingin’, sebaliknya masih memelihara kehangatan hubungan manusia yang selama ini menjadi kekuatan radio?
Sudah pasti ia menuntut perancangan editorial yang bijak dan adaptasi budaya khalayak digital yang peka terhadap kehendak masyarakat tempatan.
Cabaran etika, identiti suara dan jurang digital
Seiring dengan peluang yang datang bersama AI, timbul juga pelbagai isu etika dan teknikal yang perlu dirancang dengan teliti.
UNESCO menekankan bahawa AI harus digunakan secara bertanggungjawab, telus dan menghormati nilai profesional penyiaran.
Ini termasuk menjaga privasi pendengar, mengurus data dengan selamat, dan memastikan alat generatif seperti suara tiruan atau kandungan automatik tidak menggantikan kreativiti dan penilaian manusia sepenuhnya.
Di Malaysia, penggunaan AI dalam penyiaran seperti AI Avatar pembaca berita atau sistem suara automatik membawa hikmah produktiviti tetapi juga menimbulkan persoalan tentang identiti suara tempatan, kebudayaan dan sensitiviti bahasa.
Cabaran terbesar ialah bagaimana memastikan teknologi ini tidak meminggirkan elemen kemanusiaan yang menjadi nadi radio, suara penyampai yang dekat dengan emosi pendengar dan kefahaman budaya setempat.
Menyatukan teknologi dan kreativiti: Strategi memperkasa kandungan
Untuk radio terus relevan dan mampu bersaing dengan platform digital lain seperti podcast, streaming dan media sosial, pendekatan kandungan perlu menempatkan AI sebagai rakan kreatif, bukan sekadar alat automasi.
AI seharusnya mengupayakan petugas-petugas radio; memberi ruang kepada penyampai dan pengkarya kandungan untuk menumpukan pada penghasilan program yang lebih bersifat naratif, mendalam dan berimpak tinggi.
Bukan lagi lawak jenaka yang mempersenda, apatah lagi bual senda yang tidak mengintegrasikan minda pendengar dengan rasional cabaran semasa untuk diteliti dan diperhalusi.
Sebagai contoh, AI boleh membantu dalam pembangunan podcast tematik secara berstruktur yang digabungkan dengan analisis data demografik pendengar, atau dalam mencipta skor muzik dan kesan bunyi berdasarkan corak emosi tertentu.
Namun keseluruhan kreativiti dan arah hala kandungan masih berada di tangan manusia.
Pendekatan ini memberi peluang kepada radio Malaysia memperluaskan kualiti kandungan tempatan dalam bahasa, budaya dan nilai unik yang disukai pendengar.
AI juga wajar dilihat sebagai jejantas antara tradisi dan inovasi.
Radio boleh mengekalkan kekuatan interaksi langsung, kepakaran penyampai radio yang penuh nilai kemanusiaan dan suara disokong oleh kecanggihan teknologi pintar yang menyediakan dinamika, kecekapan dan kebolehcapaian yang lebih luas.
Memperkukuh radio dalam Landskap IR4.0
Tema Radio dan Kecerdasan Buatan pada Hari Radio Sedunia 2026 bukan sekadar soal teknologi, tetapi satu panggilan kepada penyiar untuk melangkah ke hadapan secara bijak, beretika tinggi dan kreatif.
Kecerdasan buatan membuka peluang luar biasa untuk memahami pendengar secara lebih mendalam, menyampaikan kandungan yang lebih relevan dengan menyantuni kebijaksanaan pendengar dan mengekalkan kuasa radio sebagai medium yang terus hidup di era digital ini.
Namun, kejayaan agenda transformasi ini bergantung kepada bagaimana stesen radio Malaysia menyeimbangi inovasi teknikal dan nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi keunggulan radio sejati.
Radio perlu menjadi suara yang mendengar, bukan sekadar untuk didengar, radio wajar mencermati, memahami dan menyentuh kehidupan pendengar yang sebenar.
Dengan strategi yang tepat, pemahaman mendalam terhadap kehendak pendengar, serta pengurusan teknologi yang bertanggungjawab, radio Malaysia berpotensi bukan sahaja untuk terus relevan dalam Revolusi 4.0 tetapi juga menjadi peneraju suara masa hadapan yang inklusif dan bermakna.
- Artikel ini ditulis oleh Rahmahtunnisah Sailin. Beliau merupakan Pensyarah, Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi Fakulti Sains Sosial,
Universiti Islam Selangor. - Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.