Skip to main content

Malaysia

KM baharu Tamil Nadu, Vijay hargai ucapan PM Anwar, tekad kukuh hubungan dengan Malaysia

Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) party leader and actor-turned-politician Joseph Vijay, speaks after taking oath as chief minister of Tamil Nadu state, in Chennai, India, Sunday, May 10, 2026. (AP Photo)
Vijay mengangkat sumpah sebagai ketua menteri negeri di selatan India itu pada Ahad susulan kemenangan partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK). - Foto AP

HYDERABAD: Ketua Menteri (KM) baharu Tamil Nadu C. Joseph Vijay pada Selasa merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas ucapan tahniah beliau dan menyatakan komitmen untuk membina hubungan lebih akrab dengan Malaysia.

Ahli politik berusia 51 tahun yang juga bintang filem Tamil popular itu berkata beliau merasa sangat berbesar hati dengan ucapan tahniah yang diberikan oleh pemimpin Malaysia tersebut.

“Terima kasih atas penghargaan yang diberikan. Saya komited untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dan memperkukuh ikatan persahabatan antara Tamil Nadu dan Malaysia,” kata Vijay dalam satu hantaran di X.

Vijay mengangkat sumpah sebagai ketua menteri negeri di selatan India itu pada Ahad susulan kemenangan partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dalam pilihan raya dewan undangan yang diadakan pada April.

Terdahulu, Anwar mengucapkan tahniah kepada ketua menteri baharu itu dan memuji prestasi pilihan rayanya.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakan saya Vijay atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu,” kata perdana menteri dalam satu hantaran di X pada Selasa.

“Selama bertahun-tahun, peminat setianya menyaksikan beliau menewaskan ahli politik korup dan pelbagai watak jahat dalam masa tiga jam, biasanya selepas rehat pertengahan tayangan. Rakyat Tamil Nadu kini telah memberikan kepercayaan kepada Vijay dengan tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana peranan yang pernah dimainkan di layar perak, tambah beliau.

Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi ikatan sejarah, budaya, dan hubungan antara rakyat yang mendalam merentasi generasi, kata Anwar sambil menambah bahawa beliau berharap dapat bekerjasama rapat dengan Vijay pada tahun-tahun mendatang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video