Kementerian Kesihatan (KKM) telah menubuhkan 33 Unit Dialisis Komuniti (UDK) di seluruh negara bagi memudahkan pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan, dengan 28 unit kini beroperasi dan lima lagi akan dibuka tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata UDK yang ditempatkan di klinik kesihatan luar bandar membolehkan pesakit menjalani rawatan tanpa perlu pergi jauh ke bandar, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan.
“Bagi penduduk luar bandar, UDK yang disediakan di klinik kesihatan ini memudahkan mereka menerima rawatan dialisis dengan lebih efisien dan selesa,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan daripada Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai langkah KKM bagi mengurangkan beban kos rawatan dialisis melalui penambahan pusat satelit di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Dr Dzulkefly berkata, selain pusat yang dikendalikan oleh KKM, lebih 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengendalikan pusat dialisis untuk membantu pesakit, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Penglibatan NGO ini secara signifikan mengurangkan tekanan kewangan dan perjalanan pesakit yang memerlukan rawatan secara kerap.
Beliau menambah bahawa KKM kini memperkenalkan perubahan dalam pendekatan rawatan dialisis dengan menekankan penggunaan Peritoneal Dialysis (PD), termasuk Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Automated Peritoneal Dialysis (APD).
“Pendekatan baharu ini memberikan lebih fleksibiliti dan keselesaan kepada pesakit serta mengurangkan kebergantungan kepada rawatan hemodialisis tradisional,” jelas beliau.
Selain itu, beliau memaklumkan Pelan Tindakan Nasional Buah Pinggang Sihat 2026-2030 bakal dilancarkan dalam masa terdekat bagi memperkukuh usaha pencegahan dan rawatan penyakit buah pinggang kronik secara menyeluruh.
Beliau juga menjawab soalan asal Abdul Khalib mengenai statistik penyakit tidak berjangkit (NCD), dan menyatakan penyakit ini masih menjadi penyumbang utama kematian di negara ini.
“Sekitar 73 peratus kematian atau kira-kira 140,000 kes setahun berpunca daripada penyakit seperti diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan obesiti,” kata Dr Dzulkefly.
Menteri itu menekankan bahawa angka kematian akibat NCD jauh lebih tinggi berbanding kematian akibat COVID-19 yang mencatatkan 37,000 kes dalam tempoh dua tahun.
Beliau menegaskan bahawa NCD merupakan pandemik senyap yang memerlukan perhatian berterusan kerana memberi impak sepanjang hayat kepada rakyat.