Skip to main content

Malaysia

KKM fokus naik taraf fasiliti kesihatan sedia ada di seluruh negara - Dzulkefly

KUALA PILAH, 28 April -- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyaksikan penyerahan replika kunci Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, sempena Majlis Penyerahan hari ini.  Penyerahan tersebut diwakili oleh Pengarah Pembinaan PPK 1 JKR, Ir Suzzana Punari (dua kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (dua kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA T
Dr Dzulkefly bersama Ahmad menyaksikan penyerahan replika kunci Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, sempena Majlis Penyerahan pada Selasa. - Gambar Bernama

KKUALA PILAH: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf fasiliti kesihatan sedia ada termasuk hospital di seluruh negara bagi menampung peningkatan permintaan perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu diambil memandangkan kebanyakan hospital awam ketika ini beroperasi dengan kapasiti hampir 100 peratus sekali gus memerlukan peluasan fasiliti termasuk pembinaan blok tambahan.

“Penambahan blok baharu ini akan memberikan nilai tambah kepada mutu perkhidmatan, khususnya kepada beberapa kepakaran, kita nak tekankan tentang penjagaan kesihatan, kesejahteraan yang bertumpu kepada penjagaan, promosi dan ramalan awal penyakit.

“Pada masa sama, pembangunan fasiliti di peringkat penjagaan kesihatan sekunder, tertiari terus diperkasakan...jadi fokus kita bukan hospital baharu tetapi lebih kepada naik taraf hospital sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, di sini, pada Selasa

Dzulkefly berkata, pihaknya kini turut menumpukan pembinaan tiga hospital baharu iaitu Hospital Petra Jaya di Sarawak yang dijangka siap hujung tahun ini, Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 di Johor Bahru (dalam proses tender) dan Hospital Tuanku Ja’afar 2 di negeri ini yang baharu diluluskan perolehan tapak.

Beliau berkata, blok tambahan HTAN berjumlah RM153.4 juta itu dibina atas tapak seluas 4.18 ekar dengan pemilikan tapak pada 10 Mac dan siap sepenuhnya berserta pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), semalam, yang dilaksanakan melalui kaedah reka dan bina.

Menurutnya, blok tambahan enam tingkat atau dikenali Blok B itu bukan sahaja menambah 132 katil wad biasa dan 12 katil ICU, malah melengkapkan keseluruhan kapasiti HTAN kepada 458 katil berserta enam dewan bedah baharu.

“Blok B ini menempatkan Jabatan Kecemasan dan Trauma pertama di Malaysia yang direka bentuk secara menyeluruh dengan fasiliti isolasi bertekanan negatif. Kesinambungan rawatan dari jabatan kecemasan ke wad isolasi kini dapat dilakukan melalui lif khas.

“Ini adalah langkah future-proofing fasiliti kita bagi mendepani cabaran penyakit berjangkit pascapandemik di samping menjamin keselamatan petugas kesihatan,” katanya.

Beliau berkata dengan fasiliti baharu itu, perkhidmatan kepakaran juga dapat diperluas meliputi Perubatan Sukan, Pink Ribbon Clinic untuk kanser payudara, pembedahan Kolorektal, Urologi, dan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif.

Selain itu, katanya, perkhidmatan pembedahan cochlear implant (ENT) dan kemudahan pengurusan bencana turut disediakan sekali gus menunjukkan komitmen KKM dalam membawa perkhidmatan kepakaran lebih dekat kepada rakyat.

“Bagi menyokong pengoperasian Blok B, kerajaan telah meluluskan 1,308 perjawatan baharu berkuat kuasa 1 Feb lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video